Siti Sarah hamil anak keempat

Siti Sarah hamil anak keempat

zaidim@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Melepasi trimester pertama, penyanyi Siti Sarah Raissuddin mengumumkan kehamilan anak keempat di Instagram (IG) TV, hari ini.

Penyanyi lagu Semakin itu berkongsi video yang dirakamkan pada 15 Februari lalu, memaparkan suaminya, Shuib Sepahtu menunjukkan alat ujian kehamilan mengesahkan dirinya berbadan dua.

“Saya akan buat pemeriksaan doktor minggu depan untuk mengesahkan tempoh kehamilan ini.

“Dalam kerendahan hati, saya memanjat kesyukuran kerana ini hadiah paling bermakna dikirimkan Allah untuk kami sekeluarga.

“Sebelum ini, ada yang nampak perubahan saiz badan saya termasuk dalam kalangan wartawan. Tetapi saya meminta mereka mengunci mulut… Biar saya umumkan sendiri kepada semua,” katanya.

Sarah berkata, selepas enam tahun melahirkan anak ketiga, Ariq Matin, dia tidak menyangka hamil lagi.

“Jujur, selepas enam tahun, saya tak menyangka merasai lagi pengalaman berbadan dua.

“Sekarang, orang kata kandungan sudah kuat, barulah saya berani bercerita lebih. Sebelum ini, saya bimbang, jadi saya tidak mahu tertekan pada awal kehamilan.

“Doakan kandungan saya baik-baik sahaja. Saya doakan buat semua ibu yang mahu merasai saat kehamilan, semoga Allah murahkan rezeki kalian,” katanya.

Sarah dan Shuib berkahwin pada 26 Februari 2011.

Pasangan ini dikurniakan tiga anak iaitu Uwais Alqarni dan Dzahira Talita Zahra dan Ariq.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top