PERSATUAN Raket Skuasy Malaysia (SRAM) memuji pemain skuasy negara, S Sivasangari susulan kejayaannya menaiki kedudukan 15 teratas Ranking Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA) iaitu yang tertinggi dalam kerjayanya setakat ini.
Mengambil kira bahawa Sivasangari ditimpa kemalangan yang menjejaskan kerjayanya tahun lepas, Pengarah Kejurulatihan SRAM Mejar (B), S Maniam menyifatkan kesungguhan dan usaha atlet berusia 24 tahun itu untuk bangkit lebih kuat, sebagai sesuatu yang luar biasa.
“Dalam jangka masa yang sangat singkat, beliau membuktikan dirinya tanpa sebarang keraguan dengan kualiti permainannya. Sekarang, cabarannya selepas ini ialah untuk cuba mengekalkan kedudukan itu untuk seketika.
“dan ketika di situ, untuk menaiki ke tangga 10 teratas dan lebih tinggi akan menjadi satu proses yang perlahan dan panjang yang perlu diiambil satu demi satu. Dan ia sangat sukar,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Sukan (JKK) dengan Majlis Sukan Negara (MSN), di Bukit Jalil di sini pada Selasa.



