SK Kempadang antara finalis sekolah terbaik dunia kategori Inovasi

KUANTAN – Sekolah Kebangsaan Kempadang di sini disenarai pendek antara tiga finalis Anugerah Sekolah Terbaik Dunia dalam kategori Inovasi.

Yayasan Pahang yang berkongsi berita tersebut dalam hantaran di laman media sosial berkata, anugerah yang julung kali diadakan itu turut mempertandingkan empat kategori lain iaitu Kolaborasi Komuniti, Tndakan Alam Sekitar, Menangani Cabaran dan Menyokong Kehidupan Sihat.

“Tahniah SK Kempadang, Kuantan yang telah tersenarai sebagai finalis tiga teratas “World’s Best School Prizes” daripada pencalonan 3,000 sekolah di seluruh dunia,”kata kenyataan itu.

Sekolah tersebut mempertaruhkan ciptaan ‘Smartzoom’, iaitu sistem penjejakan automatik yang mengikuti perkembangan murid dalam pembelajaran menggunakan input daripada ‘Google Sheets dan ‘Google Chrome’.

Berpeluang memenangi USD50,000, SK Kempadang perlu menewaskan dua lagi sekolah yang disenarai pendek dalam kategori sama iaitu sekolah daripada Chile, Escuela Emilia Lascar dan N High School, Jepun.

Pemenang akan dipilih berdasarkan kriteria yang ketat oleh juri akademi yang terdiri daripada pemimpin terbilang di seluruh dunia termasuk ahli akademik, pendidik, NGO, usahawan sosial, kerajaan dan sektor swasta.

Bagaimanapun, orang awam juga boleh membuat pengundian di https://eu1.hubs.ly/H01Pv6Q0 atau laman “World’s Best School Prizes” bermula 22 September hingga 2 Oktober 2022.

Pemenang akan diumumkan di Minggu Pendidikan Dunia yang berlangsung pada 16 hingga 21 Oktober 2022.

SK Kempadang sebelum ini telah mendapat tajaan daripada Kerajaan Negeri Pahang melalui Yayasan Pahang bagi menjalankan program Sekolah Amanah sejak 2015 hingga 2021.

Program itu merupakan pendekatan baharu dalam bidang pendidikan untuk memperkasakan sekolah dengan memberi autoriti untuk mengurus dan membuat keputusan bagi meningkatkan prestasi pelajar.-MalaysiaGazette

Leave a Comment