Skandal lebuh raya: SPRM sita aset, harta bernilai RM143 juta milik Tan Sri

Skandal lebuh raya: SPRM sita aset, harta bernilai RM143 juta milik Tan Sri

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah menyita aset dan harta bernilai RM143 juta milik individu bergelar Tan Sri dipercayai diseleweng daripada projek pembinaan lebuh raya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, sitaan dilakukan membabitkan 14 akaun individu bernilai RM4.5 juta, lapan akaun syarikat (RM33 juta), kondominium dan sebidang tanah (RM24.5 juta) serta sembilan unit kereta (RM7.65 juta).

“Turut disita, jam tangan bernilai RM25 juta, tas tangan (RM3 juta), barang kemas dan berlian (RM6 juta), empat kuda (RM400,00), minuman beralkohol (RM3 juta), aset luar negara (RM15 juta) dan aktiviti perjudian (RM20 juta).

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di antara tahun 2016 hingga 2020 di mana dana sukuk yang diluluskan berjumlah kira-kira RM1.35 billion membabitkan penyelewengan tuntutan palsu yang bernilai kira-kira RM360 juta dan RM416 juta serta pinjaman fasiliti bank lain sebanyak RM50 juta.

“Hasil tuntutan dana yang diseleweng ini dipercayai turut digunakan dalam aktiviti penggubahan wang haram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, suspek disyaki menyeleweng dana menggunakan juruaudit, pakar kewangan, jurutera, dan syarikat yang bertindak sebagai penerima wang berkenaan secara berlapis.

Azam berkata, pasukan siasatan juga sedang mengesan kenderaan mewah dan hartanah Tan Sri berkenaan dalam dan luar negara termasuk di London serta Switzerland.

Katanya, siasatan kini tertumpu kepada nilai sebenar minuman alkohol mewah dalam simpanan Tan Sri terbabit dengan kemungkinan wang berkenaan dipindahkan ke akaun lain.

“Sehingga kini SPRM belum mengambil keterangan Tan Sri berkenaan kerana beliau masih berada di sebuah hospital swasta.

“Hari ini pegawai siasatan akan mendapatkan pengesahan daripada doktor berkaitan status kesihatan Tan Sri terbabit sebelum dirakamkan keterangannya.

“Jumlah keterangan saksi sehingga hari ini masih kekal dengan 45 orang dan saksi-saksi yang telah diambil keterangan sebelum ini telah dipanggil semula untuk memberikan keterangan lanjut,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top