am@hmetro.com.my
Seremban: Selepas lebih tiga minggu menyorok, salah seorang suspek utama yang disyaki terbabit membelasah seorang pelajar tingkatan lima hingga parah bulan lalu ditahan, awal pagi semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Muhd Amrul Yazid Anuar berkata, suspek yang berusia 21 tahun itu ditahan di Serdang, Selangor, jam 3.50 pagi.
“Ketika penugasan rondaan kereta peronda polis (MPV) Kontinjen Selangor di sekitar Seri Kembangan, polis menahan seorang lelaki di hadapan sebuah kedai di Jalan SP 2/1, Serdang Perdana.
“Hasil semakan mendapati lelaki ini mempunyai rekod dikehendaki bersabit laporan di daerah Seremban membabitkan kes yang sedang disiasat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Jelasnya lagi, suspek mempunyai lima rekod jenayah.
“Lelaki yang ditahan ini adalah antara suspek utama yang menghilangkan diri. Usaha untuk memburu suspek seorang lagi masih dijalankan,” katanya.
Harian Metro pada 10 Mei seorang pelajar patah tulang hidung, tulang pipi dan mengalami pendarahan pada mata kiri selepas dibelasah secara beramai-ramai hanya kerana tersalah orang.
Difahamkan, dalam kejadian jam 3 pagi itu, suspek utama menyangka mangsa terbabit pergaduhan dengan adiknya lalu membawa mangsa ke satu lokasi di Paroi sebelum dibelasah.
Berita berkaitan:
Bapa mahu keadilan, ingin serah bukti kes anak dipukul kepada polis
Belasah pelajar tingkatan lima, 10 suspek direman empat hari
10 suspek belasah pelajar ditahan
Pelajar parah didakwa dibelasah beramai-ramai
© New Straits Times Press (M) Bhd




