Piala Dunia 2026: 14 bintang beraksi tanpa kelab

Piala Dunia 2026: 14 bintang beraksi tanpa kelab

New York: Ketika Piala Dunia 2026 memasuki fasa kalah mati, tumpuan bukan saja terarah kepada perebutan trofi di New York New Jersey Stadium pada 19 Julai, tetapi juga kepada nasib beberapa pemain yang sedang beraksi tanpa ikatan kelab.

Difahamkan, seramai 14 pemain yang masih aktif dalam kejohanan ini kini berstatus ejen bebas selepas kontrak mereka tamat atau tidak disambung oleh kelab masing-masing.

Antara nama besar yang mencuri perhatian sudah tentu membabitkan pemain berprofil tinggi seperti Mohamed Salah, Casemiro serta James Rodriguez.

Salah, 33, yang kini mengetuai cabaran Mesir, dijangka terus menjadi buruan kelab Liga Pro Saudi selepas tamat kempen Piala Dunia, meskipun fokus utamanya ketika ini kekal bersama pasukan negara.

Sementara itu, Casemiro yang meninggalkan Manchester United selepas sedekad bersama kelab itu turut masih mencari destinasi baharu, namun khabarnya sudah dikaitkan dengan perpindahan ke Inter Miami di Major League Soccer.

Bagi James Rodriguez pula, masa depannya masih kabur selepas prestasi tidak konsisten di MLS bersama Minnesota United, sekali gus membuka kemungkinan dia akan berkelana ke kelab kelima dalam tempoh kurang tiga tahun.

Nama veteran lain yang turut berada dalam senarai ialah Luka Modric yang kini berusia 40 tahun, namun masih belum membuat keputusan sama ada untuk bersara atau meneruskan kariernya.

Selain itu, pertahanan Austria, David Alaba serta pemain Brazil Fabinho turut berada dalam situasi sama selepas tamat kontrak masing masing.

Tidak ketinggalan, penjaga gol Cape Verde, Vozinha yang menjadi sensasi kejohanan apabila membantu pasukan mencipta kejutan, kini turut berstatus bebas selepas kontraknya bersama kelab Portugal, Chaves, tamat.

Kesemua pemain ini kini berada dalam situasi unik bukan saja memburu kejayaan Piala Dunia, tetapi juga peluang untuk memikat kelab baharu sebelum musim bola sepak Eropah kembali bersambung.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top