Andalusia lancar pakej umrah tempoh pendek

Andalusia lancar pakej umrah tempoh pendek

SEPANG: Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. memperkenalkan pakej umrah jarak pendek pada harga serendah RM5,990 bagi membantu golongan bekerja yang tidak berpeluang mengambil cuti panjang untuk menunaikan ibadah di Tanah Suci.

Pengarah merangkap Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, pakej sembilan hari tujuh malam itu diperkenalkan sebagai alternatif kepada bakal jemaah yang ingin menunaikan umrah dalam tempoh singkat tanpa menjejaskan keselesaan sepanjang perjalanan.

Menurut beliau, pakej tersebut menggunakan penerbangan Malaysia Airlines dengan penginapan empat malam di Mekah dan tiga malam di Madinah di hotel kategori jarak sederhana.

“Kami cuba menawarkan pakej yang lebih singkat bagi mereka yang tidak dapat mengambil cuti panjang. Dengan harga ini, saya rasa ia amat berbaloi untuk mereka yang ingin menunaikan umrah dalam tempoh yang singkat tetapi masih selesa,” katanya selepas majlis pelepasan kumpulan jemaah umrah ke Tanah Suci di sini, hari ini.

Beliau berkata, inisiatif itu merupakan antara usaha Andalusia merancakkan lagi permintaan sempena musim umrah baharu yang bermula pada Muharam, bagi memberi lebih banyak pilihan kepada bakal jemaah.

Untuk makluman, selain penerbangan terus, pakej itu turut merangkumi makan tiga kali sehari, bimbingan dua kali bersama mutawif berpengalaman, visa umrah serta pelbagai cenderamata kepada jemaah.

Menurutnya, promosi pakej berkenaan dibuka sehingga hujung bulan ini mengikut jadual penerbangan yang ditawarkan.

Terdahulu, seramai 91 jemaah berlepas ke Tanah Suci menerusi penerbangan Saudia, termasuk seramai 47 orang terdiri daripada pekerja serta ahli keluarga usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman dan Datin Seri Nur Shahida Mohd. Rashid. – UTUSAN

Scroll to Top