am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun mendakwa video memaparkan perbualannya dengan seorang individu berhubung dana RM300,000 yang dikaitkan dengannya sudah disunting.
Masidi yang merujuk kepada video terbaharu berkaitan dakwaan skandal rasuah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah yang didedahkan sebuah portal berita hari ini, turut berkata, beliau tidak ingat perbualannya ketika video itu dirakam.
“Saya merujuk kepada video whistleblower (pendedahan) mengaitkan saya yang disiarkan oleh Malaysiakini.
“Sekadar untuk makluman, saya tidak pernah ingat perbualan itu kerana rakaman perbualan telah disunting.
“Yang saya ingat beliau menawarkan untuk menyumbang kepada parti dan saya menjawab bahawa tidak ada keperluan untuk berbuat demikian.
“Saya tidak tahu-menahu mengenai wang sebanyak RM300,000 yang kononnya diserahkan melalui pegawai khas saya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Beliau bagaimanapun mengalu-alukan sebarang siasatan atas dakwaan itu oleh pihak yang berwajib dan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada agensi penyiasat.
Hari ini, satu video sepanjang tiga minit 56 saat yang memaparkan perbualan Masidi dan pegawai khasnya dengan seorang individu dipercayai ahli perniagaan disebarkan melalui portal Malaysiakini, antara lain mendedahkan perbincangan berkaitan dana kepada Masidi.
Di awal video itu, individu yang menemui Masidi ada menyebut mengenai mining (perlombongan) yang didakwanya menjadi isu kontroversi, sebelum diakui Masidi yang kemudian menyatakan kebimbangannya terhadap isu itu yang menyebabkan pembangkang bising.
Masidi kemudian bersetuju perkara itu disimpan untuk perhatian (KIV) dan bersalam dengan individu itu sebelum sesi video dengan beliau tamat.
Dalam video yang sama, rakaman diteruskan dengan perbualan individu terbabit dengan pegawai khas Masidi berkaitan soal dana.
Selain video memaparkan Masidi, beberapa lagi video disebarkan melalui portal sama hari ini, termasuk membabitkan Adun Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob yang sebelum ini rakaman audionya tular.
Dua lagi video memaparkan perbualan dengan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah yang juga Adun Membakut, Datuk Mohd Ariffin Arif dan video memaparkan perbualan dengan Adun Tanjung Batu Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy.
Sebelum ini, tiga klip video sudah ditularkan, masing-masing memaparkan perbualan dengan Adun Kemabong Datuk Rubin Balang, Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Adun Tanjung Keramat Datuk Ir Shahelmey Yahya dan Adun Tempasuk Datuk Mohd Arsad Bistari.
© New Straits Times Press (M) Bhd




