Skuad kuadran sepak takraw negara tak goyah jumpa Vietnam

Skuad kuadran sepak takraw negara tak goyah jumpa Vietnam

ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tiada istilah gentar buat skuad kuadran sepak takraw negara apabila turun beraksi dalam separuh akhir Piala Asia Kuala Lumpur 2025 esok di Stadium Titiwangsa.

Anak buah Mohammad Zulkarnain Mohamed Arif bersedia untuk menentang mana-mana lawan termasuk Vietnam atau Korea Selatan bagi merebut tiket ke pentas final.

Biarpun Malaysia pernah ditewaskan Vietnam 0-2 (12-15, 5-15) dalam saingan Piala Dunia di Bihar, India, Mac lalu, Zulkarnain menegaskan skuad kali ini lebih bersedia dari segi fizikal dan mental.

“Kita tak kisah siapa lawan. Fokus utama adalah persiapan pasukan sendiri. Berdasarkan pengalaman, kita tahu kelebihan dan kelemahan mereka dan akan gunakan maklumat itu sebaik mungkin,” katanya selepas pasukannya menewaskan Filipina 2-1, semalam.

Menurutnya, analisis awal ke atas permainan Korea Selatan dan Vietnam sudah dilakukan sebagai langkah awal taktikal.

“Vietnam kita sudah jumpa sebelum ini, jadi ada data untuk kita rujuk. Tapi Korea Selatan setakat ini kita belum lihat aksi mereka secara penuh, jadi kita akan tunggu aksi mereka sebelum buat analisis lanjut.

“Apa pun, kemenangan ke atas Filipina adalah ujian penting buat pasukan. Ia membantu kami menilai tahap sebenar pemain dan memperkemaskan lagi strategi,” katanya.

Skuad negara dijangka menurunkan barisan terbaik dalam misi melangkah ke final di laman sendiri sekali gus menyemarakkan kembali semangat penyokong terhadap acara kuadran yang mula mendapat tempat selepas penampilan di Piala Dunia lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top