Liverpool: Liverpool berharap saingan Eropah mampu menjadi penyelamat ketika mereka menerima kunjungan PSV Eindhoven awal pagi Khamis, di tengah kemerosotan domestik yang disifatkan pengurus Arne Slot sebagai ‘langsung tak boleh diterima’.
Juara Liga Perdana Inggeris itu tumbang lapan daripada 11 perlawanan terakhir semua pertandingan, termasuk kekalahan memalukan 0-3 kepada Nottingham Forest hujung minggu lalu yang menyebabkan mereka jatuh ke tangga ke-12 serta meningkatkan tekanan ke atas pengendali Belanda itu.
“Ia memang pelik, memang tak masuk akal,” kata Slot.
“Tiada alasan yang cukup untuk kami bermain begitu. Ia sesuatu yang tak dijangka, buat kelab, saya dan semua.
“Tapi kelab ini selalunya lebih kuat bila keadaan makin sukar.”
Liverpool sekurang-kurangnya boleh menarik nafas dalam Liga Juara-Juara (UCL) dengan tiga kemenangan daripada empat aksi, termasuk menang 1-0 ke atas Real Madrid, untuk berada di tangga kelapan dengan sembilan mata.
Ditanya sama ada beliau perlu membuktikan dirinya kepada penyokong, Slot menjawab: “Setiap hari anda kena buktikan diri. Tak boleh hidup atas kejayaan lama.
“Kena menang perlawanan seterusnya, saya dan para pemain. Itu persekitaran kerja yang saya suka.”
Slot mengakui kelemahan utama The Reds musim ini ialah benteng pertahanan.
“Jumlah gol yang kami bolos jauh berbeza dengan musim lalu,” katanya.
“Forest sentuh kotak penalti kami kali pertama menerusi set-piece, terus gol. Musim lalu masa macam ini, kami tak bolos satu pun set-piece. Musim ini, sembilan.”
Beliau menegaskan penyelesaiannya bukan individu, tetapi ‘tanggungjawab kolektif’ seluruh pasukan untuk bertahan.
Liverpool bakal berdepan PSV yang kini enam mata di depan Eredivisie dengan 11 kemenangan daripada 13 perlawanan serta berada di kedudukan ke-18 UCL dengan lima mata.
“Saya tak rasa ini lawan yang ideal waktu sekarang,” kata Slot.
“Dalam dua tiga bulan kebelakangan ini mereka mesin kemenangan.”
Satu-satunya tonik buat Liverpool ialah rekod cemerlang di Anfield dalam aksi UCL, menang 13 aksi terakhir di laman sendiri sama ada peringkat liga atau kumpulan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




