SMART tiba di Turkiye, PM doa permudah tugas SAR

KUALA LUMPUR – Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) selamat tiba di Turkiye yang dilanda gempa bumi kuat pada Isnin lalu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendoakan tugas anggota pasukan berkenaan dipermudahkan.

“Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) selamat tiba di Turkiye bagi menyertai misi mencari dan menyelamat (SAR) di wilayah terjejas bencana gempa kuat.

“Saya ucapkan selamat bertugas dan mendoakan usaha kalian dipermudahkan insya-Allah,” kata Anwar dalam kenyataan ringkas di media sosial.

Sementara itu Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan berkata, pasukan SMART tiba di Istambul pada pukul 6 pagi waktu tempatan dan menjadi antara pasukan negara asing pertama tiba di negara tersebut.

Seramai 70 anggota itu telah digerakkan segera ke Adana yang terletak 500 kilometer dari Angkara dan 987 kilometer dari Istambul bagi misi SAR.

Media antarabangsa melaporkan gempa bumi dengan kekuatan magnitud 7.8 menggegarkan selatan Turkiye pada 6 Februari lalu, dengan angka kematian melebih 5,000 termasuk di kawasan berjiran di Syria.

Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turkiye memaklumkan, gempa bumi berlaku jam 4.17 pagi (waktu tempatan) dan berpusat di daerah Pazarcik.

Gegaran menyebabkan puluhan bangunan musnah itu turut dirasai di wilayah lain termasuk Diyarbakir dan Gaziantep serta negara jiran termasuk Lubnan dan Syria.-MalaysiaGazette

Leave a Comment