SMK Meru juara Piala Datuk Mokhtar Dahari B-18

SMK Meru juara Piala Datuk Mokhtar Dahari B-18
SMK Meru juara Piala Datuk Mokhtar Dahari B-18

Pemain SMK Meru meraikan kejayaan menjuarai Piala Datuk Mokhtar Dahari B-18 selepas menjinakkan SMK Seksyen 19 dalam perlawanan akhir di Stadium MBPJ pada Sabtu. – Foto: Majlis Bandaraya Petaling Jaya

SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Meru muncul juara Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 18 Tahun (B-18) 2025 selepas menewaskan SMK Seksyen 19, Shah Alam 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti dalam aksi final penuh dramatik di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Sabtu.

Pertembungan dua kuasa bola sepak remaja dari Klang dan Shah Alam itu berlangsung tegang sejak wisel pertama dengan SMK Seksyen 19 lebih menguasai tempo 15 minit awal permainan.

Namun, SMK Meru segera bangkit memberikan saingan sehingga kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, namun ketumpulan penyudah menjadi penghalang menyebabkan kedudukan kekal tanpa jaringan sehingga rehat.

Babak kedua menyaksikan SMK Meru tampil lebih garang, tetapi SMK Seksyen 19 berjaya memecah kebuntuan gol menerusi jaringan Hariz Syahmi Shaiful Yazed yang meletakkan mereka di depan minit ke-48.

Tekanan bagaimanapun tidak melemahkan semangat SMK Meru, sebaliknya menyuntik motivasi untuk bangkit mencari gol penyamaan.

Hasilnya, Adli Naqiuddin Akhmad Asyarafadean menyamakan kedudukan pada minit ke-54, sekali gus mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti selepas 70 minit berakhir dengan keputusan 1-1.

SMK Seksyen 19 Shah Alam naib juara Piala Datuk Mokhtar Dahari B-18.

SMK Seksyen 19 Shah Alam naib juara Piala Datuk Mokhtar Dahari B-18.

Di pentas paling getir itu, ketenangan menjadi pemisah apabila SMK Meru lebih cermat menyempurnakan sepakan untuk meraih kemenangan 5-4, sekali gus mengesahkan kejuaraan edisi 2025.

Sementara itu, kejayaan tersebut disifatkan pengendali SMK Meru, Sabri Jaafar sebagai hasil disiplin tinggi dan semangat juang luar biasa yang dipamerkan anak buahnya sepanjang kejohanan.

“Pemain bermain dengan baik dan konsisten mengikut perancangan jurulatih. Walaupun beberapa kali dikejutkan dengan jaringan awal lawan, mereka tetap bangkit dengan semangat juang tinggi untuk menang setiap perlawanan,” katanya yang jelas berpuas hati dengan prestasi skuad bimbingannya.

Sementara itu, aksi penentuan tempat ketiga di Padang Sintetik Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Seksyen 19 menyaksikan SMK Telok Panglima Garang mengesahkan kedudukan podium selepas menewaskan SMK Dato’ Harun 2-1.

Sebagai rekod, kejohanan tahunan ini mendapat sokongan Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) Berhad selaku penaja utama manakala Sinar Harian sebagai media rasmi.

Scroll to Top