am@hmetro.com.my
Bukan sekadar festival muzik, Latihan Pestapora Malaysia yang juga gabungan artis popular dari dua negara serumpun yang menggegarkan pentas Stadium Nasional, Bukit Jalil turut melakar sejarah tersendiri dan berjaya menarik lebih 25,000 penonton, Sabtu lalu.
Barisan artis popular dari Indonesia ialah Sheila On 7, Pamungkas, Kunto Aji, Hindia, Feast, Nadin Amizah, Barasuara, Efek Rumah Kaca dan Feel Koplo ‘featuring’ Ari Lesmana dan Sintya Marisca.
Manakala, barisan artis terkenal tempatan terdiri daripada Bunkface, Bittersweet, Salammusik dan Dolla.
Paling mencuri tumpuan dan dinantikan penonton pastinya kemunculan band fenomena Indonesia, Sheila On 7 (SO7) yang sudah tujuh tahun tidak beraksi di Kuala Lumpur sekali gus mengubat kerinduan peminat di negara ini.
Pada konsert itu, SO7 menghiburkan peminat pada jam 10 malam dengan rangkaian 18 lagu hits band berpengaruh berkenaan.
Antaranya Betapa, Kita, Film Favorit, Bila Kau Tak Disampingku, Sephia, Lapang Dada, Saat Aku Lanjut Usia, Seberapa Pantas, Memori Baik, Dan, Melompat Lebih Tinggi dan Sebuah Kisah Klasik dan Berhenti Berharap.
Penyanyi SO7, Duta berkata, pihaknya mengakui teruja kerana dapat kembali beraksi di Kuala Lumpur selepas kali terakhir mengadakan konsert di sini pada 2018.
“Terima kasih kerana anda sudah meluangkan ‘weekend’ (hujung minggu) ini bersama Latihan Pestapora Malaysia. Sudah lama sekali iaitu sudah tujuh tahun SO7 tidak ke sini. Alhamdulillah, akhirnya tahun ini kita bisa (dapat) ke sini. Terima kasih Latihan Pestapora Malaysia, semoga kalian (anda) ‘happy’ (gembira) sampai detik ini,” katanya sambil mendapat tepukan gemuruh penonton yang rata-ratanya sabar menanti kemunculan band berpengaruh itu sejak petang lagi.
Bagaimanapun, Duta mengakui vokalnya mungkin tidak lagi seperti zaman mudanya dulu.
Malah, Duta juga meminta peminat untuk sama-sama menyanyikan bait lagu Berhenti Berharap terutama pada bahagian korus lagu popular kumpulan itu pada penghujung persembahannya.
Selain Duta, band SO7 menampilkan anggota iaitu Eross Candra yang juga pemain gitar dan Adam Muhammad Subarkah (bass).
Turut mencuri perhatian ialah penampilan anak sulungnya iaitu Aishameglio yang mengiringi persembahan SO7 pada konsert itu.
Selain SO7, band tempatan iaitu Bunkface turut tampil dengan persembahan bertenaga selama sejam dengan pemilihan rangkaian lagu yang cukup menghiburkan penonton.
Bunkface memulakan persembahan dengan lagu hitsnya Malam Ini Kita Punya sekali gus menghangatkan acara.
Lagu lain yang disampaikan Bunkface ialah Rentak Laguku, Ekstravaganza, Dunia, Darah Muda,Panik, Situasi dan Revolusi.
Tidak ketinggalan, penampilan kumpulan sensasi Dolla dengan menyampaikan rangkaian lagu seperti MWA, Damelo, Best Side, Bad, Berani dan Impikan.
Terdahulu, pada acara sebelah petang, penyanyi Indonesia, Nadin menghiburkan penonton dengan rangkaian lagu hitsnya seperti Berpayung Tuhan, Tapi Diterima, Semua Aku Dirayakan, Rayuan Perempuan Gila, Ah, Bertaut, Di Akhir Perang, Beranjak Dewasa dan Outro.
Selain itu, penampilan Kunto Aji yang juga kerap ke sini tampil dengan rangkaian lagu hitsnya seperti Intro Urip, Konon Katanya, Mercusuar, Saudade, Pengingat, Jangan Melamun (Jernih), Rona Merah, Rehat dan Terlalu Lama Sendiri.
Festival muzik ini dianjurkan Hitman Solutions dengan kerjasama strategik bersama dengan Boss Creator.
Pestapora pertama dipentaskan di Gambir Expo dan Hall D2 JIExpo, Kemayoran, Jakarta Utara, selama tiga hari pada 20 September tahun lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd