Soalan ringkas ayah tanda restu Mark peluk Islam

Soalan ringkas ayah tanda restu Mark peluk Islam

SIRI 2

georgie@hmetro.com.my

PENYANYI dan pelakon, Mark Adam terus jatuh cinta dengan Islam ketika pertama kali tiba di Malaysia pada 2001.

Perasaan itu mula berputik selepas dia mengenali keindahannya melalui orang sekelilingnya.

Pada mulanya dia tersentuh dengan kebaikan seorang rakan sekerja bernama Zul yang disifatkan sebagai seorang Muslim terbaik pernah dikenalinya. Kemudian, takdir menemukannya pula dengan jodohnya, Norazah Redzuan, antara orang terpenting membuatkan hatinya terus terpaut dan lebih serius mendalami ajaran Islam.

Bahkan, dia terus ke Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) untuk berguru bersama ramai orang bukan Islam lain yang mahu mempelajarinya. Mark secara langsung tahu agama Islam yang paling tepat buat dirinya dan banyak soalan terjawab.

“Saya punya cikgu adalah mualaf, mamak. Saya ingat lagi masa tu apabila saya datang setiap minggu, ada ramai nak belajar. Saya ada kawan Cina dan lain-lain. Saya orang luar.

“Saya nak tahu dan kami dapat cikgu yang sangat bagus. Semua soalan yang kami tanya, dia jawab. Semua jawapan daripada soalan saya semua logik,” katanya mengimbau permulaan hijrahnya.

Perasaan ingin tahu yang mendalam itu semakin membuak-buak selepas setiap persoalannya dijawab dengan penjelasan yang masuk akal.

“Situ lagi saya punya semangat nak tahu, dia naik lagi. Saya masuk Islam 2002, kahwin 2003,” katanya.

Namun, perjalanan Mark untuk memeluk Islam tidak mudah kerana keputusan besarnya memeluk Islam mendapat tentangan keluarga di Filipina apatah lagi mereka sendiri berpegang kuat dengan agama Kristian.

“Keluarga di Filipina tak terima masa awal-awal, sebaliknya mereka menyuruh isteri saya pula datang kepada mereka dan masuk agama kami di sana,” katanya.

Mark bagaimanapun bertegas dengan keputusannya kerana ia datang dari kehendak dirinya sendiri, bukan paksaan sesiapa.

Malah, dia turut menjelaskan dengan sebaik-baiknya setiap pertanyaan keluarganya.

“Ketika minta kebenaran nak masuk Islam, mak dan nenek menangis, tapi saya paling takut ayah saya sebenarnya. Dia orang terakhir saya tanya mengenai hasrat saya itu,” katanya.

Detik yang paling mendebarkan itu rupanya menjadi jawapan dicari-carinya. Bapanya cuma bertanya kembali kepada Mark sama ada dia gembira dengan keputusannya dan diri sendiri.

“Tapi, apabila saya tanya dan beritahu dia saya nak masuk Islam, itu pun satu waktu dalam hidup saya yang mengejutkan. Dia tanya satu soalan saja dekat saya. Dia cakap ‘Are you happy? Awak gembira?’ Saya cakap ya dan dia terus bagi restu,” katanya.

Jawapan ringkas bapanya itu memberi kelegaan tidak terhingga, apatah lagi beliau adalah individu yang banyak mengajarnya mengenai tanggungjawab dan menjadi insan yang baik.

Persepsi negatif keluarganya mengenai Islam mula berubah selepas melihat keperibadian mulia isterinya, sehingga mereka sendiri mula bertanya mengenai agama ini.

“Pertama kali isteri saya balik di Filipina, semua fikiran mereka sudah berubah. Sebab dia, orang nampak daripada isteri, macam mana orangnya dan mereka bertanya-tanya lagi.

“Memang wujud kekeliruan sebelum ini. Keluarga saya tidak tahu pasal Islam dan ingat Islam itu jahat. Tapi, mereka terkejut bila jumpa isteri saya. Lagi-lagi mak saya dan dia cakap nak belajar Islam,” katanya.

ESOK: Lagu Pencuri telan kos RM500 sahaja

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top