suliati@hmetro.com.my
Mempunyai berat badan berlebihan di usia 40-an boleh menjejaskan kesihatan.
Justeru, menjaga berat badan ideal sangat penting kerana ia membantu mencegah pelbagai penyakit kritikal seperti jantung, diabetes dan angin ahmar iaitu penyakit yang biasanya mula muncul apabila seseorang itu meningkat usia.
Namun, di usia 40-an ini, usaha menurunkan berat badan biasanya menjadi lebih mencabar. Hal ini disebabkan pelbagai faktor.
Ia termasuk perubahan hormon, tahap aktiviti fizikal menurun, tabiat pemakanan tidak seimbang dan cara tubuh menyimpan lemak yang berubah.
Bagaimanapun, dengan langkah mudah dan konsisten, berat badan masih boleh dikawal dan dikekalkan pada tahap sihat.
Tip ini mungkin dapat membantu menurunkan berat badan terutama apabila mencecah usia 40-an.
1. Perbanyakkan pengambilan buah dan sayuran
Ketika makan, isilah setengah pinggan anda dengan buah dan sayuran. Ini kerana, buah dan sayuran memiliki lebih banyak nutrisi serta lebih sedikit lemak dan kalori berbanding daging, produk susu atau biji-bijian.
Buah juga memberikan rasa kenyang, walaupun hanya makan sedikit. Buah-buahan segar seperti epal dan beri, baik untuk menggantikan makanan yang tinggi lemak dan gula.
2. Jangan lewatkan sarapan
Cara menurunkan berat badan di usia 40-an sama dengan diet kebanyakan iaitu tidak melewatkan ataupun menghindari sarapan.
Apabila tidak bersarapan, anda mungkin akan merasa sangat lapar seterusnya mengambil makanan yang tidak sihat ketika makan tengah hari.
Sarapan juga sangat diperlukan badan lebih-lebih lagi jika anda perlu bekerja sepanjang hari. Makanan yang diambil ketika sarapan tidak hanya mengenyangkan, tetapi juga berkhasiat dan seimbang.
3. Makan lebih sikit di waktu malam
Penurunan berat badan juga boleh berlaku jika anda mengambil makanan lebih sikit di waktu malam.
Oleh itu, cara menurunkan berat badan di usia 40-an salah satunya adalah dengan mengawal pengambilan makanan pada waktu malam.
Walaupun makan lebih sikit dianjurkan, tapi jenis makanan yang diambil juga perlu makanan yang sihat dan kaya dengan serat.
4. Kurangkan kalori
Semakin usia bertambah, kebiasaannya kita akan kurang aktif. Oleh itu, cara menurunkan berat badan di usia ini adalah dengan mengurangkan jumlah pengambilan kalori.
5. Kudapan sihat
Jika anda sudah terbiasa dengan pengambilan makanan yang berat kerana mungkin mengalami gastrik atau sukar untuk menahan rasa lapar, pilih kudapan yang sihat untuk cegah kenaikan berat badan yang terlalu banyak.
Kurangkan pengambilan makanan yang digoreng seperti pisang goreng dan ubi goreng.
Selain itu, ganti kudapan dengan buah-buahan dan jus, tetapi perhatikan juga penyajiannya. Hindari jus yang tinggi gula dan pilih jus segar buatan sendiri.
Anda juga boleh minum jus bersama ampasnya supaya kenyang lebih lama.
6. Tekanan
Tekanan membuatkan anda lebih cenderung mengambil makanan yang tidak sihat. Hal ini sekali gus membuatkan tubuh anda susah untuk memecah lemak.
Untuk mengatasi masalah ini, cuba lakukan aktiviti sukan untuk usia 40-an yang sekali gus dapat membuat anda lebih tenang seperti berjalan-jalan atau membaca buku.
Namun, perlu diingat, cara menghilangkan tekanan berbeza bagi setiap orang. Jadi, cari cara yang paling sesuai untuk anda.
7. Jangan tidur lewat
Tidur lewat malam cenderung membuat seseorang teringin untuk ‘mengunyah’ atau memakan snek walaupun sebenarnya tidak lapar.
Tabiat ini boleh menggagalkan usaha untuk menurunkan berat badan kerana ia menambah kalori tanpa disedari.
Lebih-lebih lagi bagi mereka yang berusia 40-an, terutama lelaki. Keadaan ini boleh menyebabkan pengumpulan lemak di perut (menyebabkan perut buncit).
8. Dapatkan tidur yang berkualiti
Individu yang mempunyai kualiti tidur yang tidak baik cenderung mengalami peningkatan berat badan.
Ini kerana, tabiat tidur yang tidak teratur boleh merangsang otak untuk makan pada waktu malam dan pastinya jenis makanan yang dipilih pula selalunya snek yang tidak sihat.
Kurang tidur juga boleh mengganggu penghasilan leptin iaitu hormon yang memberi isyarat kenyang kepada badan.
Elakkan juga tekanan dan pengambilan minuman berkafein sebelum waktu tidur kerana kedua-dua faktor ini boleh menyebabkan anda sukat untuk tidur lena.
Selain itu, penurunan kadar metabolisme tubuh pada usia 40-an menyebabkan badan lebih mudah ‘mengembang’ atau berisi.
Jadi, pastikan anda mengamalkan langkah-langkah yang disebutkan tadi untuk menurunkan berat badan dan sertakan juga rutin senaman secara konsisten.
© New Straits Times Press (M) Bhd




