Sokong pembangunan sukan

Sokong pembangunan sukan

kartika@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Malaysia Aviation Group (MAG), terus memperkukuh komitmen terhadap pembangunan sukan negara dengan melantik ikon lumba basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang sebagai duta rasmi MHsports.

Pelantikan itu diumumkan semalam dan menyaksikan Azizulhasni atau lebih dikenali sebagai ‘The Pocket Rocketman’ bakal memainkan peranan aktif dalam kempen jenama serta program libat urus komuniti anjuran MAG.

Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Izham Ismail berkata, pelantikan itu mencerminkan nilai teras Malaysia Airlines iaitu daya tahan, disiplin dan kebanggaan negara yang turut diterjemahkan dalam perjalanan Azizulhasni sebagai atlet bertaraf dunia.

“Malaysia Airlines sentiasa menyokong perkembangan sukan kebangsaan, kami bangga menjadi sebahagian daripada perjalanan atlet Malaysia dengan menyediakan penyelesaian perjalanan yang memenuhi keperluan mereka.

“Azizulhasni bukan sahaja lambang kejayaan di arena sukan, malah figura inspirasi yang mampu menyuntik semangat kepada generasi muda,” katanya.

Menurutnya, pelantikan itu juga dijangka memperkukuh lagi strategi pemasaran MAG dalam merapatkan jurang antara dunia sukan dan penerbangan, serta memperluas pengaruhnya dalam kalangan komuniti belia dan atlet tempatan.

Sebagai duta MHsports, Azizulhasni akan menerima sokongan dalam latihan dan penyertaannya di kejohanan antarabangsa.

MHsports turut menawarkan faedah khusus kepada pengembara sukan seperti diskaun tambang, elaun bagasi tambahan untuk peralatan sukan serta fleksibiliti tempahan.

Selain itu, kejayaan luar biasa Azizulhasni termasuk pingat gangsa di Olimpik Rio 2016 dan perak di Olimpik Tokyo 2020 dan beliau juga pernah menjulang gelaran Kejohanan Dunia UCI 2017, 12 kali juara Kejohanan Asia, dan pelbagai kemenangan podium di Piala Dunia.

Di sebalik pencapaiannya di trek, Azizulhasni turut aktif dalam menyampaikan ceramah motivasi, terbabit dalam program sekolah serta inisiatif komuniti bagi membina generasi muda yang lebih berani dan berdisiplin.

Personalitinya yang merendah diri dan semangat kepimpinannya selari dengan nilai yang dibawa oleh MHsports.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top