Sokong perkembangan PMKS

Sokong perkembangan PMKS

Kuala Lumpur: Sidang Kemuncak Asean di Kuala Lumpur perlu menjadi titik perubahan dalam cara rantau ini menyokong dan mengembangkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), Datuk William Ng berkata, di tengah-tengah landskap geopolitik dan geoekonomi yang semakin berubah, Sidang Kemuncak Asean adalah peluang penting menjadikan PMKS pemacu utama inovasi, keterangkuman dan daya tahan ekonomi serantau, dan bukannya sekadar pelengkap dasar.

Justeru, pihaknya menyeru pemimpin Asean agar menggunakan peluang itu sebaik mungkin untuk mengurangkan halangan bukan tarif, memanfaatkan perubahan geopolitik, meningkatkan pelaburan dalam sektor kreatif dan digital dan cipta peluang adil dalam perdagangan.

Katanya, ketahanan Asean mesti bermula dari bawah dengan PMKS sebagai tunjang masa depan bersama.

“PMKS merangkumi lebih 97 peratus daripada semua perniagaan di Asean dan menyumbang lebih 85 peratus daripada jumlah pekerjaan di beberapa negara anggota.

“Walaupun memiliki kepentingan ekonomi yang besar, PMKS hanya menyumbang 30 peratus hingga 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) rantau ini,” katanya.

Menurutnya, peratusan kecil dicatat dalam perdagangan intra-Asean yang kini mewakili kurang 22 peratus daripada jumlah perdagangan Asean.

“Ekonomi kreatif merangkumi kandungan digital, reka bentuk, seni persembahan dan warisan budaya adalah sektor berpotensi tinggi bagi PMKS. Ia boleh berkembang dengan skala, berasaskan budaya dan mudah dieksport.

“Asean mesti mengiktiraf ekonomi kreatif sebagai komponen penting dalam strategi integrasi ekonomi serantau dengan penekanan kepada perlindungan hak cipta dan harta intelek (IP), akses pasaran dan mobiliti profesional kreatif serta pembangunan infrastruktur dan kluster kreatif, terutama untuk perusahaan yang diketuai belia dan wanita,” katanya.

Mengulas lanjut, Ng berkata, Asean perlu mengambil langkah berani melalui perjanjian pengurangan halangan bukan tarif, peluasan perjanjian pengiktirafan bersama (MRA) dan pengoperasian Tingkap Tunggal Asean (ASW) yang lebih menyeluruh bagi PMKS.

Beliau berkata, rantaian bekalan global kini disusun semula untuk mempelbagaikan sumber dari kebergantungan tunggal, seperti dalam strategi China Plus One.

Pada masa sama, katanya, ketegangan antara kuasa besar dunia termasuk konflik perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China membuka ruang dan juga risiko baharu kepada Asean.

Justeru, inilah saat terbaik Asean menonjol sebagai blok bersatu, berkecuali dan mesra perniagaan, bersedia menyerap pelaburan, peralihan rantaian bekalan dan mandat perkilangan baharu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top