hafizithnin@mediaprima.com.my
KEDIAMAN dua tingkat yang berkeluasan kira-kira 2,000 kaki persegi dilengkapi empat bilik tidur dan empat bilik air ini sememangnya mempunyai aura ketenangan tersendiri sebaik melangkah masuk.
Paduan warna kelabu lembut bersama putih yang menjadi dominasi pemandangan di ruang tamu, pintu masuk dan ruang makan seakan-akan tetamu berada di dalam sebuah lobi hotel yang ringkas dan tenang.
Sebenarnya, konsep itu yang diinginkan Dr Mimi Safinas Mohamad Yusof yang memiliki rumah itu sejak Julai 2023. Baginya apabila berada di dalam rumah perlu mempunyai aura ketenangan dan selesa.
Dr Mimi berkata, dia menggunakan khidmat pereka hiasan dalaman bagi melakukan aktiviti merias kediaman berkenaan yang mencakupi ruang tamu, ruang makan dan laluan masuk.
“Ketika saya memutuskan untuk membeli kediaman ini pada 2021, sememangnya saya sudah mula mencari idea yang terbaik kerana inginkan persekitaran yang amat selesa apabila berada di dalamnya.
“Saya mula meninjau pelbagai konsep dan tema kediaman di media sosial untuk dizahirkan di dalam kediaman ini. Bagi memastikan idea itu dapat dilaksanakan, saya menggunakan khidmat pereka hiasan dalaman,” katanya.
Jelasnya, dia merasa puas meskipun mungkin ada yang beranggapan membelanjakan hampir RM63,000 bagi menghias tiga ruang berkenaan sesuatu perbelanjaan yang besar.
“Bagi saya wang yang dibelanjakan itu amat berbaloi kerana ia bukan sekadar yuran rundingan sahaja tetapi termasuk menyediakan perabot, kabinet televisyen, aksesori, langsir dan mengecat.
“Apabila masuk ke dalam kediaman ini, saya seakan hanya ‘cuci kaki’ sahaja kerana semuanya sudah disiapkan pereka hiasan dalaman dan hasilnya sangat berpuas hati,” katanya.
Tambahnya, sebelum memutuskan untuk memilih pereka hiasan dalaman dia juga membuat tinjauan beberapa pakar di dalam bidang itu yang perlu sesuai bajet, yang boleh dipercayai dan mempunyai pengalaman.
“Sebelum saya memutuskan untuk menggunakan khidmat pereka hiasan dalaman Eladeko, saya ada melihat beberapa pereka hiasan dalaman yang lain tetapi ia tidak begitu serasi atas beberapa faktor.
“Jadi, apabila saya berunding dengan pereka hiasan dalaman ini, amat mudah dan mereka juga mempunyai rekod yang baik dalam kalangan pelanggan yang pernah menggunakan khidmatnya,” katanya.
Katanya, meskipun menggunakan khidmat pereka hiasan dalaman, dia amat menitik beratkan idea asal bagi mendekorasi kediaman itu supaya serasi dengan cita rasa peribadi.
“Saya sememangnya gemarkan kediaman yang mampu kelihatan kemas, ringkas tetapi pada masa yang sama mempunyai aura ketenangan apabila kita melangkah masuk.
“Jadi, saya maklumkan kepada pereka hiasan inginkan elemen ini dan dia mencadangkan untuk memilih konsep minimalis moden iaitu satu konsep yang ringkas dari segi susun atur dan pemilihan perabot tetapi tampak moden serta malar segar,” katanya.
Katanya, dia memberi tumpuan kepada tiga bahagian kediaman itu untuk didekorasi pereka hiasan dalam kerana ia adalah kawasan yang menjadi tumpuan sekeluarga serta tetamu.
“Ruang tamu saya jika dilihat hanya mempunyai set sofa yang agak ringkas tetapi perabot itu kelihatan moden. Selain itu, pereka hiasan dalaman saya bijak untuk menyatukan elemen itu dengan kabinet televisyen yang moden.
“Di kabinet televisyen itu juga mempunyai pencahayaan lampu jingga. Apabila lampu itu di pasang bersama lampu lain yang turut berwarna jingga sejuk, akan menaikkan lagi suasana seperti di sebuah lobi hotel,” katanya.
Tambahnya, pada bahagian belakang televisyen juga mempunyai hiasan dinding jubin putih yang bercorak. Malah, ia mampu menjadi titik fokal apabila berada di ruang tamu.
“Selain itu, di bahagian ruang makan yang menempatkan meja makan lapan tempat duduk menggunakan meja makan jubin putih yang bercorak abstrak menyatukan lagi dengan hiasan dinding di belakang televisyen berkenaan.
“Malah, untuk menjadikan lagi ruang utama yang menggabungkan antara ruang tamu dan ruang makan, terdapat satu cermin besar di bahagian dinding memberi kesan luas yang amat ketara apabila saya berada di ruang berkenaan,” katanya.
Katanya, keseragaman warna bukan sahaja cat dinding malah rona perabot dilihat begitu penting bagi menonjolkan keharmonian warna di dalam ruang berkenaan.
“Saya cukup mudah untuk berbincang dengan pereka hiasan ini kerana saya hanya maklumkan jenis warna yang diinginkan dan tidak mahu terlalu banyak rona. Maka, terhasil sebuah ruang yang mempunyai keharmonian rona dari segi dinding dan juga perabot.
“Selain itu, pemilihan aksesori seperti pokok tiruan di sudut kediaman menjadikan ruang yang didekorasi itu kelihatan menarik dari pandangan mata saya sekeluarga,” katanya.
Tambahnya, pemilihan konsep moden minimalis itu juga serasi dengannya kerana dia mempunyai anak-anak yang masih kecil dan keadaan ruang yang terlalu banyak perabot sudah semestinya bukanlah sesuatu pilihan yang bijak.
“Saya mempunyai anak-anak yang masih kecil dan keselamatan di dalam rumah amat penting untuk mereka bergerak di dalam ruang tamu atau ruang utama kediaman ini.
“Pereka hiasan dalaman juga memastikan setiap perabot yang dipilih tidak mempunyai bucu yang tajam atau aksesori porselin yang mudah untuk dicapai oleh kanak-kanak,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




