redzuan.muharam@hmetro.com.my
Temerloh: “Bagi saya, solekan itu cantik kerana ikhlas daripada anak.
“Biarlah orang nak cakap apa atau kecam sekalipun…yang penting saya bahagia dan anak pun dapat pahala sebab bantu saya.”
Itu kata Zuraidah Ahmad, 36, yang menjadi mangsa sindirian wajah atau ‘face shaming’ oleh segelintir warganet yang mengecam solekan pada hari perkahwinannya.
Kecaman itu dilemparkan selepas tular video dan gambar dikongsikan Zuraidah di media sosial yang menunjukkan dia memakai busana pengantin dengan solekan tebal pada wajah.
Berkongsi kisahnya, Zuraidah yang menetap di Kampung Lanchang, di sini berkata, dia dan suami, Abd Hadi Abd Rahman, 49, yang berstatus duda selamat diijabkabulkan pada pagi kelmarin (Jumaat) di Pejabat Agama Islam Daerah Temerloh.
“Kami tak bersanding kerana buat perkara yang wajib saja iaitu akad nikah jadi sangat ringkas tanpa majlis besar-besaran pun.
“Saya pun tak ambil khidmat jurusolek sebaliknya anak kedua, Manis, 16, yang solekkan dibantu anak sulung iaitu kakaknya, Manja, 18.
“Mereka yang tawarkan diri untuk bantu dan sebagai ibu, tentunya saya gembira kerana anak nak bantu cantikkan pada hari bahagia walaupun ini perkahwinan kali kedua saya,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Zuraidah, dia bukan wanita yang gemar berdandan malah pertama kali mengenakan solekan pada hari perkahwinannya kelmarin.
“Waktu nikah kali pertama dulu pun tak bersolek…kiranya, ini kali pertama saya bersolek tebal.
“Saya okay saja kerana bukan selalu. Terima kasih buat anak dan saya hargai sangat usaha mereka.
“Niat saya memuat naik gambar di media sosial itu pun untuk kongsi detik bahagia dan simpan sebagai memori. Tak ada niat langsung nak tular.
“Saya bersiaran langsung di restoran mamak selepas akad nikah itu pun untuk suka-suka dan video agak kabur hingga wajah nampak gelap serta kusam kerana telefon saya sudah lama,” katanya yang terbuka hati berkahwin lagi kerana terpikat dengan keperibadian suami serta layanan baik lelaki itu terhadap empat anaknya.
Bagaimanapun, Zuraidah tidak menyangka ada yang tidak senang dan melemparkan kecaman berbaur sindiran wajah.
“Saya tahu kecaman itu selepas terbaca apa yang tular di media sosial…tapi tak baca semua komen kerana enggan sakit hati.
“Ada yang mengejek sampai menghina saya…tak tahu apa masalah kerana bukan ‘melawa’ (berhias) untuk mereka.
“Saya tak kisah pun dengan penilaian orang sebenarnya tapi sampai menghina itu saya tak maafkan kerana saya mahupun keluarga berpuas hati dengan hasil solekan anak,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
