Warga emas pulangkan 19 barang kemas emas ditemukan dalam sampah

Ho Chi Minh City: Seorang wanita berusia 78 tahun menyerahkan beg mengandungi 19 barangan kemas emas kepada polis selepas menemukannya dalam sampah ketika mengumpul barangan terpakai.

VN Express International melaporkan, Nguyen Thi Mui menemukan beg kertas itu kira-kira jam 9.30 pagi pada 8 September lalu ketika mengasingkan barangan terbuang di Kawasan 41, Wad Hiep Binh.

Di dalamnya terdapat beberapa kotak barang kemas yang mengandungi 15 cincin, dua rantai, seutas gelang dan seutas loket, semuanya diperbuat daripada emas .

Mui membawa beg itu ke Balai Polis Wad Hiep Binh, melaporkan penemuannya dan meminta bantuan anggota polis untuk mencari pemilik.

Salah sebuah kotak barang kemas mengandungi resit dengan nama pembeli, kata pegawai polis yang mengendalikan kes itu, Nguyen Van Dung.

Polis menggunakan nama berkenaan untuk membuat carian dalam Pangkalan Data Penduduk Kebangsaan, namun menemui puluhan rekod yang sepadan.

Mereka kemudian mengecilkan carian kepada penduduk yang tinggal di Kawasan 41 dan mengunjungi beberapa alamat bagi mengesahkan identiti.

Anggota polis akhirnya mengetahui barang kemas itu baru-baru ini hilang dari rumah Tran Thi Thuy Van, 34.

Van berkata, dia secara tidak sengaja meletakkan beg berisi barang kemas itu bersama sampah rumah ketika mengemas sebelum membuangnya.

Apabila menyedari kesilapannya, keluarganya menyangka barang kemas berkenaan sudah masuk ke dalam sistem pengurusan sisa bandar dan tidak cuba mendapatkannya semula.

Polis meminta Van menerangkan jumlah serta ciri-ciri barang kemas itu, termasuk barangan yang disimpan bersamanya. Keterangan Van sepadan dengan harta yang diserahkan Mui.

Kedua-dua wanita itu kemudian diminta hadir di balai polis pada hari sama bagi melengkapkan urusan pemulangan barang kemas berkenaan.

Selepas menerima semula hartanya, Van mengucapkan terima kasih kepada Mui dan polis.

“Walaupun sudah lanjut usia dan hidup dalam keadaan sukar serta mencari rezeki dengan mengumpul barangan kitar semula, Mui tidak tergoda untuk menyimpan harta bernilai itu. Tindakannya amat wajar dipuji,” kata Dung.

Van tidak mendedahkan nilai barangan kemas itu, namun Mui menerima VND10 juta (kira-kira RM1,600) dan 10 kilogram beras sebagai hadiah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top