Milan: Penjaga gol veteran Inter Milan, Yann Sommer muncul wira Nerazzurri selepas melakukan aksi menyelamat luar biasa pada masa tambahan untuk membantu pasukannya menewaskan Barcelona 4-3 dalam aksi dramatik separuh akhir Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.
Kemenangan itu memastikan Inter mara ke final dengan agregat 7-6, sekali gus menghidupkan semula kenangan manis kempen treble mereka pada 2010.
Sommer, 35, menghasilkan detik magis pada minit ke-113 apabila menafikan percubaan berbisa pemain remaja sensasi Barcelona, Lamine Yamal — menepis bola ke kiri atas gawang dalam gaya yang mengingatkan ramai kepada aksi penyelamatan Julio Cesar menafikan Lionel Messi di Camp Nou pada 2010.
“Ia satu aksi penyelamatan yang sangat istimewa… saya akan ingat ia sepanjang hidup saya,” kata Sommer yang jelas kelihatan sebak selepas perlawanan di San Siro yang dibasahi hujan.
“Saya hanya gembira bola itu tidak masuk.”
Barcelona yang mendahului 3-2 dari perlawanan pertama dilihat hampir mengesahkan tiket ke final, namun dua gol lewat daripada Francesco Acerbi dan Davide Frattesi menghidupkan semula semangat juang Inter dalam perlawanan yang penuh dramatik.
Sommer, yang sering dilihat tenang dan jarang menagih perhatian media, sekali lagi mempamerkan kualitinya — bukan sahaja dari segi ketangkasan, malah sebagai ‘penggerak’ permainan dari bawah.
Beliau mencatat 61 sentuhan bola — kedua tertinggi selepas Alessandro Bastoni — dan melakukan tujuh penyelamatan penting sepanjang aksi, termasuk beberapa cubaan berbahaya daripada Yamal.
“Dia pemain yang hebat,” kata Sommer mengenai pemain muda berusia 17 tahun itu.
“Tapi kami berjaya bangkit. Banyak pasukan akan menyerah selepas bolos gol ketiga, tapi bukan kami.”
Sommer yang mengamalkan yoga dan meditasi untuk mengekalkan fokus dan ketenangan, mengakui dia hanya mahu berehat selepas malam penuh emosi itu.
“Perlawanan macam ini, anda memang tak akan lupa,” katanya sambil tersenyum.
Inter kini bakal berdepan sama ada Paris Saint Germain (PSG) atau Arsenal dalam perlawanan akhir.
PSG membawa bekalan satu gol menjelang aksi timbal balik di Parc des Princes, awal pagi esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd




