Pestapora gegar Sunway Lagoon Surf Beach Julai ini

Pestapora gegar Sunway Lagoon Surf Beach Julai ini

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Festival muzik terkemuka Indonesia, Pestapora, bakal mencipta sejarah dengan menganjurkan edisi ‘latihan’ pertamanya di luar negara dan Malaysia menjadi destinasi pilihan.

Edisi khas ini akan berlangsung pada 26 Julai di Sunway Lagoon Surf Beach dan menghimpunkan barisan artis ternama dari kedua-dua negara serta menjanjikan sebuah pesta muzik penuh warna dan energi serumpun.

Antara nama besar dari Indonesia yang bakal menggegarkan pentas buat pertama kalinya di Latihan Pestapora Malaysia termasuk Hindia, Pamungkas, Kunto Aji, Feast, Barasuara x Efek Rumah Kaca dan Feel Koplo.

Sementara itu, barisan bintang tempatan turut menyerikan acara dengan kehadiran Dolla, Bunkface, Bittersweet, SonaOne, SalamMusik dan ramai lagi.

Pengasas Hitman Group juga penganjur konsert, Rohit Rampal, berkata edisi khas ini berfungsi sebagai previu eksklusif buat peminat di Malaysia yang tidak berkesempatan untuk terbang ke Jakarta bagi menghadiri festival utama pada September nanti.

“Setiap tahun, ribuan peminat dari Malaysia terbang ke Jakarta semata-mata untuk merasai kehangatan Pestapora.

“Melihat kepada kekuatannya dalam menyatukan jiwa-jiwa melalui muzik, kami mahu magis itu turut dirasai oleh rakyat Malaysia di tanah air sendiri.

“Latihan Pestapora adalah seperti previu kepada peminat yang tidak dapat ke Jakarta, tetapi ia juga untuk mereka yang ingin bersiap sedia menjelang festival utama dengan hadir di acara latihan dulu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Rohit turut menyifatkan penganjuran ini sebagai satu langkah segar yang mampu mencorak landskap hiburan dan industri muzik tempatan.

“Sebagai penganjuran sulung Latihan Pestapora di Malaysia, kami berharap ia disambut meriah oleh peminat.

“Matlamat kami adalah untuk menawarkan pengalaman baharu dalam hiburan tempatan serta mencipta memori indah buat pengunjung.

“Kami juga berharap artis terlibat dapat menikmati pengalaman ini sepenuhnya sambil mempersembahkan karya mereka kepada penonton baharu,” katanya.

Festival ini akan mengetengahkan pelbagai genre muzik daripada pop, rock, alternatif, hip hop hingga ke indie dan sekali gus memenuhi cita rasa pelbagai lapisan peminat muzik serumpun.

Menariknya, lebih 2,000 tiket telah terjual meskipun senarai penuh artis belum diumumkan, sekali gus membuktikan kekuatan jenama Pestapora dalam menarik perhatian peminat dengan jaminan pengalaman muzik, seni, komuniti dan budaya yang menyeluruh.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top