mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Masih berbaki sembilan bulan sebelum pertemuan semula menentang Malaysia, penyerang naturalisasi Vietnam, Nguyen Xuan Son sudah memberi isyarat awal dia belum ‘move on’ daripada kekalahan memalukan di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Vietnam dimalukan 0-4 oleh Harimau Malaya dalam aksi kedua Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027 pada 10 Jun lalu, sekali gus menamatkan badi 11 tahun tanpa kekalahan skuad Naga Emas ke atas Malaysia.
Lebih menarik, Son yang tidak beraksi pada malam itu akibat kecederaan, memuat naik catatan penuh makna di Instagram sejurus tamat perlawanan hanya tertulis “31 Mac 2026”, iaitu tarikh pertembungan semula kedua-dua pasukan di Hanoi.
Tindakannya itu menjadi tular dalam kalangan penyokong bola sepak Vietnam yang menganggap ia satu tanda kebangkitan dan misi ‘pembalasan dendam’ terhadap Harimau Malaya.
Menurut laporan media tempatan, VNExpress, Son mengakui kekalahan kepada Malaysia adalah sesuatu yang sukar diterima bukan sahaja oleh pasukan, malah seluruh rakyat Vietnam.
“Menang dan kalah adalah adat perlawanan, tetapi saya sendiri sangat kecewa dan sedih setiap kali mengingati kekalahan itu,” kata pemain berusia 28 tahun berasal dari Brazil itu.
Son yang nama asalnya Rafaelson Bezerra Fernandes turut menyatakan tekad untuk pulih sepenuhnya sebelum aksi 31 Mac depan bagi membantu Vietnam memburu kemenangan penting bagi layak ke pusingan akhir Piala Asia 2027 di Arab Saudi.
Malaysia kini mendahului Kumpulan F dengan enam mata selepas dua perlawanan, diikuti Vietnam dan Laos (tiga mata), manakala Nepal masih belum mengutip sebarang mata.
Hanya juara kumpulan akan layak secara automatik ke pusingan akhir, menjadikan aksi di Hanoi nanti bakal menjadi medan hidup atau mati buat dua pencabar utama membabitkan Malaysia dan Vietnam.
Dengan semangat yang sedang membara di kedua-dua kem, 31 Mac 2026 dijangka bakal menjadi tarikh penuh dramatik yang ditunggu-tunggu penyokong di rantau Asia Tenggara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




