am@hmetro.com.my
Alor Setar: Kerajaan Persekutuan perlu mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi ekplorasi unsur nadir bumi (REE) dengan segera bagi mengelak hasil mineral itu dieksport secara haram ke luar negara.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ini berikutan terdapat pihak mengambil kesempatan dengan mengisytiharnya sebagai lantanida bagi membolehkan ia dieksport ke luar negara.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan negara kehilangan hasil yang besar kerana ia sepatutnya boleh diproses di dalam negara.
“Saya pun bimbang (berlaku penyelewengan), pasal yang telah berlaku isytihar REE sebagai ‘lanthanite’ (lantanida), tak tahu berapa banyak sudah keluar.
“Ia bukan berlaku di Kedah tapi di negeri lain, saya dah beritahu dulu di seluruh negara ada 25 lombong haram, hanya ada satu di Kedah, negeri lain berlambak tapi kenapa hanya di Kedah yang ada satu saja mereka bising, SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) pi tangkap depa, tak kira siapa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan The Greater Kedah di Dewan Seri Mentaloon, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri sudah mempunyai SOP sendiri, namun ia tidak boleh dilaksanakan kerana di bawah kuasa kerajaan Persekutuan.
Katanya, SOP itu merangkumi proses eksplorasi dan kaedah melombong termasuk tidak membenarkan penebangan pokok.
“Cuma apabila kita bawa keluar REE, kita tak boleh jual ke mana-mana, perlu dapatkan pelepasan kastam kerana belum ada SOP daripada kerajaan Persekutuan.
“Ada satu negeri kawan saya (rakan sejawat) kata kita tak payah dok kira depa (kerajaan Persekutuan), kita proses sendiri, jadi nampaknya ada negeri kena mendahului, kalau depa nak gelintey (gentel) sampai sudah, dok kelebek tak benti kita pi (buat) dulu,” katanya.
Katanya, kerajaan negeri sering bertanya mengenai perkembangan SOP berkenaan kepada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, namun tiada sebarang perkembangan.
Sebelum ini, media melaporkan SPRM mengesyorkan kerajaan mewujudkan SOP bagi mengelakkan penyelewengan REE berulang.
Sekiranya tidak dilaksanakan, ia memudahkan pihak tidak bertanggungjawab untuk melombong tanpa kebenaran atau mencuri hasil REE.
© New Straits Times Press (M) Bhd




