Juri AIM25 mampu kesan lagu dijana AI -Ajai

Juri AIM25 mampu kesan lagu dijana AI -Ajai

KUALA LUMPUR: Komposer dan Ketua Juri Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25), Ajai atau Mohamad Faizal Maas berkata, barisan juri mempunyai kepakaran untuk mengesan mana-mana lagu yang dihasilkan menggunakan teknologi janaan Kecerdasan Buatan (AI).

Ajai, 51, berkata, aplikasi AI pada masa kini cenderung menghasilkan kualiti bunyi yang seragam, sekali gus mudah dikenal pasti menerusi corak vokal serta susunan muzik yang dihasilkan.

“Juri akan tahu jika sesebuah lagu menggunakan AI kerana aplikasi itu selalunya menghasilkan bunyi yang seragam. Kebanyakannya menggunakan suara lelaki atau wanita yang hampir sama dan mudah dikesan.

“Daripada aspek susunan muzik dan kualiti bunyi yang dihasilkan AI, juri profesional mampu menghidu perbezaannya,” katanya ketika ditemui semasa sesi sidang media Anugerah Industri Muzik ke-25, di Volume KL, di sini, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Ajai menyifatkan AI hanyalah sebuah pangkalan data gergasi yang menghimpunkan serpihan melodi dari seluruh dunia sebelum digabungkan menjadi sebuah lagu.

Tegasnya, AI seharusnya berfungsi sebagai alat bantuan teknikal dan bukannya pengganti mutlak kepada kreativiti serta bakat manusia dalam menghasilkan karya seni.

“Pendirian saya, tidak salah menggunakan AI untuk membantu membetulkan bahagian tertentu atau sebagai alat bantuan teknikal, sama seperti penggunaan auto-tune.

“Namun, penggunaan auto-tune yang berlebihan akan menghasilkan bunyi seperti ‘chipmunk’.

“Jangan sampai AI digunakan untuk menghasilkan keseluruhan karya. Jika itu berlaku, keaslian dan jiwa manusia dalam lagu tersebut akan hilang,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ajai menegaskan kriteria utama penjurian AIM tetap berpaksikan kualiti keseluruhan sesebuah karya dan tidak hanya tertumpu kepada penyanyi atau penulis lirik semata-mata.

“Kami menilai setiap aspek, bermula daripada bunyi sebelum rakaman, semasa rakaman, proses adunan (mixing) hinggalah ke peringkat penataan bunyi (mastering).

“Kami juga mahu mendidik pendengar supaya memahami bahawa tanpa kepakaran teknikal ini, sesebuah karya tidak akan mampu mencapai standard terbaik. Ini juga menjadi proses pembelajaran kepada masyarakat untuk mengenali elemen muzik seperti reverb, delay dan pelbagai aspek teknikal lain,” ujarnya.

Sementara itu, Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) mengumumkan AIM25 bakal diadakan buat julung kalinya di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Sarawak pada 26 September ini.

Dua kategori baharu turut diperkenalkan iaitu Lagu Borneo Terbaik dan Lagu Perayaan Terbaik sebagai usaha memperkukuh semangat inklusiviti dalam landskap industri muzik tempatan.

Proses penyerahan pencalonan dibuka mulai 16 Julai hingga 6 Ogos 2026 menerusi laman rasmi AIM. – UTUSAN

Scroll to Top