NONTHABURI – Aktiviti bermain sorok-sorok dalam air bertukar tragedi apabila seorang pelajar kolej vokasional berusia 17 tahun dihanyutkan arus deras sebelum lemas di Sungai Chao Phraya, Thailand pada 6 September lalu.
Pelajar tahun ketiga sebuah kolej teknologi itu pergi berenang bersama tujuh hingga lapan rakannya untuk menyejukkan badan selepas cuaca panas pada sebelah petang.
Teman wanita mangsa berkata, kumpulan berkenaan sebelum itu pergi memancing sejak pagi dan mereka tidak begitu kerap berenang di lokasi tersebut.
“Ketika berenang, mereka bermain sorok-sorok. Teman lelaki saya kemudian berenang ke kawasan pusaran air sebelum cuba berenang kembali ke tebing.
“Bagaimanapun, arus deras serta kemahiran berenangnya yang lemah menyebabkan dia dihanyutkan ke tengah Sungai Chao Phraya sebelum lemas di depan mata saya,” katanya.
Kejadian berlaku kira-kira jam 2.40 petang berhampiran jeti komuniti Tha Sai, Daerah Mueang, Nonthaburi, sebelum pegawai dan penduduk tempatan menjalankan usaha mencari mangsa.
Lima penyelamat sukarelawan dan penyelam turut menjalankan pencarian di dalam air dalam keadaan arus yang deras.
Selepas kira-kira sejam, penyelam menemui jasad mangsa.
Nenek mangsa yang menunggu dengan penuh harapan kemudian pengsan selepas melihat jasad cucunya ditemui sebelum diberikan rawatan awal oleh anggota penyelamat.
Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Institut Sains Forensik untuk bedah siasat bagi menentukan punca kematian sebelum tindakan lanjut dijalankan.
