KOTA BHARU: Taktik sindiket penyeludupan menyembunyikan dadah di dalam sebuah bot di kawasan semak berhampiran Sungai Peng di sini terbongkar selepas Pasukan Gerakan Am (PGA) menjumpai syabu bernilai RM5.7 juta pada Ahad lalu.
Rampasan dadah seberat 114 kilogram itu dilakukan pada pukul 12.30 tengah malam oleh anggota Batalion 9 PGA selepas menjumpai sebuah bot berwarna biru dalam keadaan mencurigakan yang disorok di dalam semak tanpa pemilik.
Komander Briged Tenggara Senior Asisten Komisoner Ahmad Radzi Hussian berkata, pemeriksaan lanjut ke atas bot tersebut membawa kepada penemuan beberapa guni putih yang mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu.
Katanya, kesemua rampasan telah dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Kota Bharu untuk tindakan lanjut.
“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM5.85 juta termasuk bot,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ahmad Radzi memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.-UTUSAN




