SPA segerakan lantikan tetap 4,500 doktor ke jawatan tetap

SPA segerakan lantikan tetap 4,500 doktor ke jawatan tetap

am@hmetro.com.my

Ipoh: Pelantikan 4,500 doktor kontrak ke jawatan tetap yang ditawarkan pada tahun hadapan akan diselesaikan segera oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Datuk Seri Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus berkata, jaminan itu dapat dilihat dengan pengambilan 3,000 jururawat baharu secara lantikan tetap yang dilaksanakan baru-baru ini.

Katanya, bagi perjawatan doktor, pelantikan sudah dimulakan menerusi lantikan secara interim sebelum pelantikan tetap sepenuhnya seperti diumumkan melalui Belanjawan 2026.

“Proses pelantikan itu kita akan buat sesegera boleh, malah baru-baru ini pun kita sudah ada pelantikan lebih 3,000 jururawat ke jawatan tetap.

“Sebagaimana yang sudah pun dinyatakan oleh kerajaan (melalui Belanjawan 2026), memang kita laksanakan seperti yang dinyatakan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pusat Temu Duga SPA Ipoh di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak, di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Pengurusan), Datuk Nor Sham Rahman; Timbalan Pengerusi SPA, Datuk Zohari Said; dan Setiausaha SPA, Datuk Ikhbal Hanam Mukras.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 terus memberi perhatian serius terhadap isu doktor kontrak dengan mengumumkan sebanyak 4,500 mereka akan ditawarkan jawatan tetap tahun hadapan.

Langkah itu adalah lanjutan usaha berterusan kerajaan sejak 2023 yang sudah meluluskan 1,500 jawatan tetap tambahan dan menyerap sejumlah 12,900 doktor kontrak ke dalam perkhidmatan tetap setakat ini.

Ahmad Jailani yang juga Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) berkata proses pelantikan doktor ke jawatan tetap itu akan turut disusuli oleh pelantikan secara interim apabila memenuhi syarat serta tuntutan yang ditetapkan SPA menerusi penelitian tertentu.

“Yang dilantik secara interim pun akan menyusul kemudian dengan pelantikan tetap, sesudah melalui proses oleh SPA dengan memenuhi semua tuntutan yang diperlukan.

“Yang penting, kaedahnya itu akan diteliti dengan lebih terperinci untuk memastikan kelestarian di masa akan datang dalam pelantikan itu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top