Speedy Tigers harus bangkit

Speedy Tigers harus bangkit

saifulaffendy@hmetro.com.my

Ipoh: Penyerang skuad hoki negara, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal mahu barisan pemain muda negara terus menunjukkan peningkatan prestasi meskipun Speedy Tigers tidak bermula dengan baik di Piala Sultan Azlan Shah (PSAS).

Jelas pemain berusia 24 tahun itu yang mencipta hatrik ketika tewas 4-5 di tangan Pakistan semalam, peluang serta ruang perlu diberikan kepada barisan pemain muda untuk terus menimba pengalaman beraksi di pentas antarabangsa.

“Ia adalah pasukan baharu yang dibarisi beberapa pemain muda. Ia perlawanan yang bagus untuk mereka dan bagi sesetengah pemain, ia juga adalah penampilan antarabangsa pertama mereka di peringkat senior.

“Mereka pernah bermain di peringkat remaja dan ini adalah satu langkah ke hadapan. Sekarang mereka akan mula mengetahui betapa tingginya standard di peringkat senior dalam aksi antarabangsa.

“Segala pengalaman ini amat baik untuk mereka membentuk keyakinan dan persefahaman dengan barisan pemain lain,” katanya.

Azrai yang muncul penjaring terbanyak di Liga Hoki Malaysia (MHL) musim ini dengan meledak 32 gol bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkata, selaku antara pemain senior, dia serta rakan sepasukan lain tidak mahu terus memberi tekanan kepada pemain muda.

“Kami perlu terus kekal bersama. Sebagai pemain senior dalam pasukan, kami perlu terus memberi motivasi kepada pemain muda. Kami tidak boleh memberi tekanan kepada mereka apabila mereka melakukan kesilapan.

“Ia bukan pengakhiran kepada segala-galanya. Piala Sultan Azlan Shah adalah persediaan terbaik untuk pasukan sebelum beraksi di Piala Negara-negara dekat Poland,” katanya merujuk kepada saingan yang akan berlangsung dari 31 Mei sehingga 9 Jun ini.

Azraai berkata, kekalahan pada perlawanan itu bukanlah penamat kepada segala-galanya, namun dia mengakui skuad negara juga kadangkala memerlukan tuah untuk memenangi perlawanan.

“Kita tidak boleh terus mengharapkan kepada barisan pemain senior sahaja. Masih ada banyak lagi perlawanan yang akan diharungi dan kita perlukan kesemua 18 pemain beraksi pada tahap terbaik,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top