SPNB bina 23,000 RMR, lepasi sasaran – Nga

SPNB bina 23,000 RMR, lepasi sasaran – Nga

am@hmetro.com.my

Ipoh: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjaya membina 23,000 Rumah Mesra Rakyat (RMR) melalui Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Ia melepasi sasaran melaksanakan 15,000 RMR seperti di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) menjelang tahun 2025.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata, tambahan 8,000 unit atau 53 peratus itu yang membabitkan peruntukan tambahan yang disalurkan oleh KPKT berjumlah RM683 juta.

Menurutnya, ia menjadikan 23,000 RMR yang dibina bernilai RM1.92 bilion, berbanding RM1.23 bilion kos peringkat awal menerusi pembinaan 15,000 RMR.

“Peruntukan bernilai besar dalam tempoh lima tahun itu mencerminkan komitmen kerajaan MADANI untuk terus menawarkan rumah mampu milik berkualiti tinggi kepada rakyat khususnya golongan B40.

“Pada tahun ini sahaja, sasaran asalnya adalah untuk membina 3,500 unit RMR, dan kita bersyukur kerana SPNB sudah melebihi sasaran iaitu 4,500 unit, menyaksikan penambahan sebanyak 1,000 unit.

“Tahun depan kita pertingkatkan lagi usaha usaha termasuk dengan menambah lagi peruntukan, dengan SPNB menyasarkan akan bina 5,400 unit lagi untuk memenuhi keperluan dan mendapat sambutan daripada rakyat.

“Rumah program di bawah SPNB setakat ini sejak penubuhannya sudah berjaya membantu 132,777 keluarga daripada golongan B40 dan M40 untuk memiliki rumah, yang mana ia adalah pencapaian luar biasa,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Villa Idaman dan RMR sekitar Parlimen Tambun di Villa Idaman, Chemor, di sini hari ini.

Majlis membabitkan serahan kunci kepada 35 pemilik kediaman Villa Idaman iaitu program perumahan SPNB yang dibangunkan di atas tanah milik kerajaan atau swasta dengan kebanyakan harga jualan tidak melebihi purata RM300,000, selain kepada 10 peserta program RMR.

Hadir sama Pegawai Khas Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Tambun, Mohamad Hairul Amir Sabri; Pengerusi SPNB, Datuk Prof Dr Mohd Azmi Mohd Lila; Ketua Pegawai Eksekutif SPNB, Mohd Jamil Idris; serta Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top