SPR perluas digitalisasi, kurangkan kos pilihan raya

SPR perluas digitalisasi, kurangkan kos pilihan raya

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang memperluaskan penggunaan sistem digitalisasi sebagai usaha mengurangkan kos pengendalian pilihan raya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, usaha itu bukan sahaja bertujuan mengurangkan perbelanjaan kerajaan malah turut mengambil kira kos yang ditanggung rakyat ketika pilihan raya.

“Kami (SPR) sedang mengkaji kaedah-kaedah untuk mengurangkan kos pilihan raya. Ia bukan sahaja kepada kerajaan tetapi juga rakyat, termasuklah digitalisasi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan bahawa kos Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dianggar RM28.45 juta dengan 11,175 petugas sepanjang pilihan raya berlangsung.

Kos PRN Johor pula sekitar RM86.8 juta manakala PRN Ne­geri Sembilan pula RM80.6 juta dan semua kos PRN dan Pilihan Raya Umum (PRU) dijangka te­rus meningkat mengambil kira pertambahan pengundi, kos logistik, kos dakwat dan lain-lain.

Mengulas mengenai bentuk digitalisasi yang sedang dikaji, Khairul Shahril berkata, SPR sedang menilai penggunaan Sistem Pengecaman Aksara Optik Kehadiran Pengundi (OCR-VA) bagi membantu proses pendaftaran pengundi.

“SPR sedang menilai sistem yang dinamakan OCR yang mana boleh membantu pendaftaran pengundi. Projek ini pernah dinilai semasa PRN Negeri Sembilan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, penambahbaikan akan dilaksa­nakan secara berterusan dalam memperkukuhkan sistem itu.

“Proses penambahbaikan akan terus dilakukan pada setiap pilihan raya dengan mengambil kira pandangan semua pihak,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top