‘Tolong jaga anak saya’ – Pesanan terakhir guru kepada ibu

‘Tolong jaga anak saya’ – Pesanan terakhir guru kepada ibu

JAKARTA – Pesanan terakhir seorang guru sekolah rendah kepada ibunya sebelum meninggal dunia ketika jerebu tebal menyelubungi Kalimantan Selatan, Indonesia meruntun hati ketika negara itu terus bergelut dengan krisis kebakaran hutan dan tanah.

Lisna, guru di Sekolah Dasar Negeri Tanjung Pagar 3, Banjarmasin, dilaporkan mengalami sesak nafas dan sakit dada pada malam 26 September lalu sebelum disahkan meninggal dunia di hospital.

“Tolong jaga anak saya,” demikian pesanan terakhir Lisna kepada ibunya, Marhamah ketika keadaan kesihatannya semakin merosot.

Menurut Marhamah, anaknya yang mempunyai sejarah penyakit asma mula mengadu sakit dada kira-kira jam 9 malam waktu tempatan selepas kelihatan sihat sepanjang hari.

Dia cuba membantu Lisna menggunakan alat nebulizer, namun masalah pernafasannya tidak reda sebelum keluarga bergegas membawanya ke Hospital Ansari Saleh di Banjarmasin.

Bagaimanapun, Lisna disahkan meninggal dunia sebelum sempat menjalani pemeriksaan lanjut.

Marhamah berkata, serangan asma anaknya semakin kerap sepanjang tempoh jerebu sehingga terpaksa menggunakan nebulizer hampir setiap hari berbanding sebulan sekali sebelum ini.

Ketua sekolah berkenaan, Zainal Abidin Asmari mengesahkan Lisna pernah memaklumkan masalah asmanya pada 21 September dan dinasihatkan supaya tidak hadir bekerja.

Namun, dia tidak dapat memastikan sama ada jerebu menjadi punca langsung kematian guru tersebut.

Dalam kejadian berasingan di Palembang, Sumatera Selatan, seorang pemandu perkhidmatan e-panggilan, Hardiansyah, 41, turut meninggal dunia pada 2 Oktober selepas mengalami kesukaran bernafas.

Isterinya, Rika Yunita Sari, 39, berkata, suaminya yang mempunyai sejarah asma mengalami masalah pernafasan sejurus bangun tidur sebelum dibawa ke hospital.

Rika menunjukkan foto suaminya, Hardiansyah, yang meninggal dunia selepas mengadu sesak nafas ketika bangun pada waktu pagi. Foto: Agensi

Rika menunjukkan foto suaminya, Hardiansyah, yang meninggal dunia selepas mengadu sesak nafas ketika bangun pada waktu pagi. Foto: Agensi

Hardiansyah bagaimanapun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 8.30 pagi waktu tempatan selepas menerima pemeriksaan.

Rika mendakwa keadaan jerebu yang semakin teruk menyebabkan suaminya kerap batuk dan mengalami kesukaran bernafas, namun lelaki itu tetap keluar bekerja demi menyara keluarga.

Bagaimanapun, Gabenor Sumatera Selatan, Herman Deru menegaskan bahawa kematian berkenaan tidak boleh dikaitkan secara langsung dengan jerebu tanpa pengesahan perubatan.

Krisis itu turut mendapat perhatian bintang Hollywood dan aktivis alam sekitar, Leonardo DiCaprio yang menerusi Instagram mendakwa lebih lima juta penduduk terjejas akibat asap kebakaran hutan di Indonesia.

Data pihak berkuasa alam sekitar menunjukkan indeks pencemaran udara di Palembang mencecah 832 pada 6 Oktober, iaitu paras berbahaya kepada kesihatan.

Keadaan penempatan penduduk di sepanjang Sungai Kahayan ketika diselubungi jerebu di Palangka Raya, Kalimantan Tengah. Foto: Agensi

Keadaan penempatan penduduk di sepanjang Sungai Kahayan ketika diselubungi jerebu di Palangka Raya, Kalimantan Tengah. Foto: Agensi

Sementara itu, kajian yang diterbitkan dalam jurnal Environmental Health pada 2022 menganggarkan pendedahan kepada asap kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan menyumbang kepada kira-kira 33,100 kematian pramatang orang dewasa serta 2,900 kematian bayi setiap tahun.

Angka tersebut merupakan anggaran pemodelan dan bukannya rekod kematian sebenar.

Setakat ini, pihak berkuasa Indonesia belum mengeluarkan angka rasmi kematian yang disahkan berpunca daripada jerebu. – Agensi

Scroll to Top