BANGI – Seramai 72 asnaf dan 30 anak-anak yatim diraikan dalam satu majlis Semarak Kasih yang diadakan di Surau Al-Muhajirin, Bukit Mahkota di sini hari ini.
Mereka diraikan oleh Persatuan Bekas Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama Pertubuhan Gagasan Generasi Profesional (CGP) dengan mendapat kerjasama daripada surau tersebut.
Mereka menerima barangan keperluan dapur untuk digunakan dalam membuat persediaan Hari Raya Aidilfitri dan bagi anak-anak yatim mereka menerima barangan untuk kegunaan persekolahan.
Presiden CGP, Datuk Nasir Saari berkata, pihaknya sangat prihatin dalam melaksanakan kerja-kerja kebajikan bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan.
Katanya, pihaknya juga amat berbesar hati kerana dapat menjalinkan kerjasama dengan SPRM bagi menjayakan program berkenaan.
“Program ini dapat menarik golongan yang diraikan agar mereka dapat merasai Hari Raya Aidilfitri sama seperti insan-insan yang lain.
“Sumbangan yang tidak seberapa ini diharap dapat meringankan beban serta memberi sinar kepada mereka untuk meraikan hari raya yang bakal menjelang tidak lama lagi,” katanya kepada media selepas program itu.
Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Bekas Pegawai SPRM, Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata, program seperti itu sudah menjadi kebiasaan untuk disertai oleh persatuan yang dipimpinnya dengan mana-mana NGO.
Jelasnya, ia bertujuan untuk mendedahkan kepada masyarakat berkenaan fungsi persatuan berkenaan serta menyebarluaskan mesej dalam aspek pencegahan rasuah disamping berkongsi rezeki dengan golongan memerlukan.

“Sebab itu saban tahun kita memilih lokasi-lokasi tertentu bagi kita bersama-sama menjayakan Semarak Kasih Ramadan ini,” katanya. – MalaysiaGazette