SPRM digesa `campur tangan' isu bangunan empat tingkat Rohingya

SPRM digesa `campur tangan' isu bangunan empat tingkat Rohingya

anbia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa mengambil tindakan tegas berhubung kewujudan bangunan empat tingkat dibina warga asing secara tidak sah di Sungai Tekali, Hulu Langat, yang kini tular di media sosial.

Kewujudan penempatan haram komuniti Rohingya itu mendapat perhatian meluas masyarakat sekaligus mengundang pelbagai persepsi terhadap tindakan penguatkuasaan pihak berwajib.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim menegaskan bahawa tumpuan utama kes ini harus diberikan kepada aspek integriti tadbir urus, penguatkuasaan undang-undang, keselamatan struktur dan kemungkinan berlakunya salah guna kuasa.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana sebuah struktur bangunan bersaiz besar boleh wujud dan beroperasi dalam tempoh yang lama tanpa tindakan berkesan daripada pihak berkuasa sekiranya premis tersebut benar-benar didirikan tanpa kelulusan pelan bangunan, kebenaran merancang, atau sijil keselamatan yang sah.

“Walaupun premis berkenaan dilaporkan pernah diserbu dalam satu operasi bersepadu pada Februari tahun lalu sehingga membawa kepada penahanan puluhan warga asing oleh Jabatan Imigresen Malaysia, MCW melahirkan rasa kesal kerana isu itu masih dilihat berlarutan tanpa penyelesaian muktamad sehingga hari ini.

“Sehubungan itu, MCW mendesak atu siasatan menyeluruh segera dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan, Pejabat Daerah, Jabatan Imigresen, PDRM, dan Jabatan Bomba, di samping melaksanakan audit integriti terhadap proses penguatkuasaan yang pernah dijalankan sebelum ini.

“MCW juga meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turun padang bagi menyiasat sekiranya wujud unsur rasuah, perlindungan haram, atau kecuaian yang membolehkan bangunan itu terus beroperasi, selain mendesak agar laporan status sebenar bangunan didedahkan kepada orang ramai bagi mengelakkan spekulasi serta sentimen perkauman,” katanya tadi.

Tegas Jais, Malaysia adalah sebuah negara yang berasaskan kedaulatan undang-undang yang wajib dipatuhi oleh sesiapa sahaja tanpa mengira warganegara, dan kegagalan pihak berkuasa untuk bertindak tegas hanya akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan serta pentadbiran awam negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top