am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Satu kertas siasatan dibuka Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu pemindahan tiga gajah Asia dari Zoo Taiping ke Zoo Tennoji, Osaka, Jepun, yang mendapat perhatian masyarakat sejak beberapa bulan lalu.
SPRM ketika ini juga sedang giat mendapatkan keterangan daripada sekurang-kurangnya empat agensi iaitu Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Perak dan Majlis Perbandaran Taiping.
SPRM berkata, keterangan daripada pihak Zoo Taiping juga sedang diperoleh berhubung pemindahan tiga gajah yang dikenali sebagai Dara, Amoi dan Kelat (DAK).
“Keterangan itu untuk mendapatkan prosedur dan proses kelulusan serta Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan program pemindahan tiga gajah itu,” katanya dalam satu kenyataani hari ini.
SPRM berkata, siasatan juga memberi tumpuan kepada NRES, PERHILITAN serta ejen yang terlibat dalam urusan pemindahan DAK.
Berhubung dakwaan terdapat bayaran berkaitan urusan tersebut yang tidak disalurkan kepada kerajaan selain mengaitkan beberapa individu dengan transaksi yang dianggarkan bernilai RM53 juta, SPRM berkata perkara itu turut diberi perhatian.
Namun kata SPRM, siasatan masih di peringkat awal dan sedang dijalankan secara menyeluruh.
“Sehubungan itu, orang ramai diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi atau kesimpulan yang boleh menjejaskan proses siasatan yang sedang berlangsung.
“Malah, SPRM komited akan menjalankan siasatan secara profesional, bebas dan telus serta tidak akan berkompromi terhadap sebarang perlakuan rasuah atau salah guna kuasa sekiranya terdapat bukti yang mencukupi untuk tindakan lanjut,” katanya.
Dara, Amoi dan Kelat dipindahkan dari Malaysia ke Zoo Tennoji menerusi perjanjian kerjasama konservasi antara Zoo Taiping & Night Safari dan Tennoji Zoo.
Namun, ketiga-tiga gajah itu menjadi tumpuan masyarakat apabila timbul persoalan mengenai kebajikan, habitat dan kesejahteraan mereka selepas berada di Jepun.
Perdebatan mengenai DAK semakin hangat apabila pelbagai pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis kebajikan haiwan, menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan hidup gajah berkenaan, dengan mengatakan gajah yang berasal dari habitat tropika lebih sesuai ditempatkan di persekitaran semula jadi di Malaysia berbanding di zoo luar negara.
Pada masa yang sama, ada pihak yang mempertahankan perjanjian tersebut menjelaskan bahawa tempoh kerjasama selama 25 tahun adalah munasabah bagi mencapai matlamat konservasi dan pembiakan jangka panjang, malah turut menegaskan bahawa ketiga-tiga gajah itu masih kekal sebagai hak milik Malaysia dan perjanjian itu mengambil kira pelbagai aspek pemuliharaan spesies.
Susulan kontroversi yang tercetus, beberapa pemimpin dan pihak berkepentingan menggesa agar Dara, Amoi dan Kelat dibawa pulang ke tanah air, termasuk mencadangkan ia ditempatkan di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah yang mempunyai kepakaran, ruang pergerakan dan kemudahan yang lebih sesuai untuk penjagaan gajah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




