mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat pembelian hartanah membabitkan pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang kini dalam tahanan reman.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, individu berkenaan adalah pegawai gred Jusa B yang menduduki jawatan tertinggi di bawah pejabat Datuk Bandar Kuala Lumpur.
“Pegawai terbabit antara pengarah kanan di bawah pejabat Datuk Bandar.
“Sebahagian siasatan SPRM kini membabitkan pembelian hartanah terutamanya sebuah kondominium yang dikaitkan dengannya,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, katanya, SPRM masih menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan.
Semalam media melaporkan tiga individu termasuk seorang pegawai kanan DBKL direman empat hari kerana terbabit dalam kegiatan rasuah dipercayai sejak 11 tahun lalu.
Tangkapan itu disahkan Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin.
Sumber dilaporkan berkata, turut ditahan seorang pemilik syarikat dan seorang orang awam kerana disyaki terbabit rasuah sejak 2014.
“Dua lelaki yang juga pemilik syarikat dan seorang wanita berusia lingkungan 40-an masing-masing ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya dan Pejabat SPRM Kuala Lumpur ketika hadir memberi keterangan pada jam 1 tengah hari hingga 2 petang.
“Suspek lelaki yang berkhidmat di agensi pihak berkuasa tempatan di ibu negara berusia lingkungan 50-an pula ditahan sekitar jam 4 petang di pejabatnya,” katanya.
Ketiga-tiga suspek dipercayai terbabit rasuah sejak 2014, yang mana pemilik syarikat itu dipercayai membayar rasuah kepada pegawai PBT sebagai balasan mendapatkan projek di agensi itu.
SPRM turut menyita wang tunai kira-kira RM150,000, empat peranti telekomunikasi, dua unit kenderaan jenis Lexus RX500h serta Mini Cooper, beg tangan serta kasut berjenama Hermès dan Louis Vuitton.
Sebanyak 19 akaun perbankan milik individu serta syarikat membabitkan nilai lebih RM7 juta turut dibekukan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
