PETALING JAYA: Kualiti udara di Sri Aman terus merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap sangat tidak sihat dengan bacaan 223 setakat pukul 6 petang ini.
Berdasarkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), sebanyak 21 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat termasuk di Sarawak iaitu Serian (181), diikuti Samarahan (168), Sarikei (166), Kuching (162), Sibu (153) dan Bintulu (151).
Di Lembah Klang, dua kawasan di Kuala Lumpur mencatatkan bacaan tidak sihat iaitu Cheras (159) dan Batu Muda (153), manakala Putrajaya merekodkan bacaan 133.
Di Selangor pula, dua kawasan mencatatkan bacaan tidak sihat iaitu Shah Alam (153) dan Johan Setia (101), selain Seremban, Negeri Sembilan (115).
Bacaan IPU tidak sihat turut direkodkan di Pulau Pinang membabitkan Minden (158), Seberang Perai (157) dan Seberang Jaya (153).
Di Perak pula, Taiping mencatatkan bacaan tidak sihat dengan 154, diikuti Tanjung Malim (128) dan Tasek Ipoh (122).
Kedah pula merekodkan bacaan tidak sihat di Sungai Petani (154) dan Alor Setar (154). –UTUSAN

