SEPANG Racing Team (SRT), kini akan dikenali sebagai RNF MotoGP Racing setelah memeterai perjanjian dengan pihak IRTA dalam usaha penstrukturan semula penyertaan pasukan berkenaan sebagai pasukan bebas (independent) dalam saingan MotoGP.
Mengulas lanjut, Prinsipal RNF MotoGP Racing, Razlan Razali berkata, penggunaan nama tersebut adalah selaras dengan proses penjenamaan serta penstrukturan semula pasukan berkenaan ketika ini.
Malah katanya, proses penjenamaan dan penstrukturan dilihat akan terus memastikan pasukan terus beraksi sebagai pasukan bebas (independent team) dalam saingan MotoGP.
“Pasukan ini akan bertanding dengan nama baharu, RNF Racing bermula dari musim perlumbaan 2022 sehingga 2026.
“Secara keseluruhannya, ia merupakan satu pengembaran yang mencabar buat kami, di mana dalam masa beberapa bulan ini kami telah meletakkan usaha untuk memulakan kembali perjalanan sebagai pasukan MotoGP yang lebih segar dan lebih kuat.
“Oleh itu, saya mahu mengucapkan terima kasih kepada pihak Dorna Sports Carmelo Ezpeleta (CEO Dorna Sports) atas kepercayaan dan keyakinan yang berterusan kepada kami untuk memulakan fasa baharu di dalam kelas MotoGP untuk tempoh lima tahun akan datang,” katanya pada satu kenyataan media, pada Sabtu.
Untuk rekod, Ogos lalu, pihak Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan Petronas telah bersetuju menamatkan jalinan kerjasama selaku penaja pasukan Petronas Sepang Racing Team (SRT) pada saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) melibatkan saingan MotoGP, Moto2 dan Moto3 yang berakhir musim ini.
ITAR Antarabangsa Sepang (SIC) mengesahkan pihaknya dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) bersetuju menamatkan jalinan kerjasama selaku penaja pasukan Petronas Sepang Racing Team (PSRT) pada saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) yang berakhir hujung musim ini.
Syarikat pengeluar minyak gergasi Malaysia tersebut menjadi penaja utama SIC sejak 2018 menerusi pasukan yang dikenali sebagai Petronas Sprinta Racing dalam saingan Moto2 dan juga Moto3.
Disebabkan itu juga, Sepang Racing Team akan dijenamakan semula sebagai RNF MotoGP Racing dengan Razlan Razali kekal sebagai prinsipal pasukan tersebut.
Terdahulu, penaja utama pasukan Sepang Racing Team, Petronas membuat kejutan untuk tidak meneruskan penajaan sebaik tamat musim perlumbaan 2021, diikuti dengan Sepang International Circuit (SIC) yang turut membuat langkah serupa.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Dorna Sports, Carmelo Ezpeleta gembira kerana berpeluang untuk bekerjasama sekali lagi dengan Razlan yang disifatkannya sebagai individu penting yang membantu pembangunan sukan permotoran Malaysia dan juga Asia Tenggara.
Justeru katanya, perjanjian berkenaan bakal membawa manfaat Dorna Sports pada masa hadapan.
“Ia sesuatu yang mengujakan untuk kembali bekerjasama dengan Razlan yang kita tahu sememangnya seorang yang sangat berminat dan bersungguh-sungguh dengan apa yang dilakukannya.
“Dia (Razlan) sememangnya diibaratkan aset kepada keluarga MotoGP sejak dari Sepang lagi,” katanya.




