Pengelasan semula RCI TH usaha pemulihan, laksana syor dikemukakan – Ahmad Zahid

Pengelasan semula RCI TH  usaha pemulihan, laksana syor dikemukakan – Ahmad Zahid

am@hmetro.com.my

Seremban: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, hasrat kerajaan supaya pengelasan semula dibuat terhadap Laporan Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) bertujuan memastikan usaha pemulihan dapat dilaksanakan berdasarkan syor yang dikemukakan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ia termasuk berkaitan penstrukturan aset, pencairan aset dan lain-lain langkah untuk memulihkan TH.

“Kami mencadangkan agar pengelasan semula dibuat dan dapatan kajian ini dilanjutkan bukan hanya sehingga 2020, tapi dilanjutkan dari 2014 hingga 2022, apabila pengurusan baharu TH mengambil alih.

“Ini bagi memperlihatkan agar usaha pemulihan, antaranya termasuk penstrukturan aset, pencairan aset dan lain-lain langkah untuk memulihkan TH, dilaksanakan berdasarkan syor dibuat oleh RCI berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Program Jelajah Pendidikan Tinggi dan TVET MARA di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Ahmad Zahid berkata, langkah itu menunjukkan komitmen kerajaan terhadap cadangan yang dikemukakan suruhanjaya berkenaan bagi pemulihan TH, sekali gus memastikan pendeposit memperoleh pulangan sepatutnya dan dapat membantu mereka menunaikan haji.

Katanya, pihaknya mendapati TH menuju ke arah memantapkan portfolio pelaburan dan kedudukan aliran tunai.

Pengelasan semula itu, katanya, akan dapat memastikan ia lebih telus dan lengkap.

“Dengan keuntungan melalui dividen atau bonus melalui sektor dan perusahaan baharu, ia dapat membantu mengurangkan kos dan menampung daripada keuntungan yang diperoleh.

“Semua pihak sedia maklum bahawa kos menunaikan ibadah haji ketika ini meningkat berbanding sebelum ini hanya RM9,980 bagi setiap jemaah,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berharap tiada pihak mengambil kesempatan memanipulasi atau mempolitikkan laporan berkenaan, lebih-lebih lagi menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, Sabtu ini.

Tegasnya, laporan itu bukan bertujuan menuding jari kepada sesiapa, tetapi ia adalah syor yang tidak harus dipolitikkan.

Beliau tidak menafikan ramai menganggapnya sebagai strategi pihak tertentu dalam kempen PRN, namun UMNO tidak mempunyai tanggapan sebegitu.

“Kita berjiwa besar, berlapang dada dan tidak mempunyai tanggapan sebegitu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top