Ipoh: Sekolah Sukan Negeri (SSN) Perak memasang impian untuk memperbaiki kedudukan Liga Bola Sepak KPM Bawah 14 Tahun (B-14) musim ini selepas keputusan kurang memberangsangkan pada musim lalu.
Pada musim 2025, SSN Perak menghuni tangga ke 10 dalam saingan Kumpulan A dengan lapan mata selepas 11 perlawanan.
Di bawah kendalian Mohd Afiq Amsyar Ahmad Salamat, persiapan giat dijalankan untuk memastikan sasaran itu menjadi kenyataan.
“Sasaran untuk pasukan B-14 adalah memperbaiki kedudukan tahun lalu kerana kita menduduki tangga ke-10.
“Jadi tahun ini saya sasarkan untuk berad di kedudukan yang lebih baik dan mara ke suku akhir (Piala Liga KPM),” kata Afiq Amsyar.
Pada aksi Liga Bola Sepak Menteri Pendidikan Malaysia B-14 2026 dengan rakan strategik 100PLUS di SMK Gunung Rapat, Ipoh, Sabtu lalu, SSN Perak melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas SSN Terengganu.
Gol terhasil menerusi tandukan pemain pertahanan J Nittish pada minit ke-13 susulan sepakan penjuru oleh Syafiq Zidane Zaidi.
Di kem pelawat, pujian tetap diberikan Wan Muhd Faris Wan Muhd Zukri kepada anak didiknya meskipun tewas.
“Perbezaan di separuh masa pertama dan kedua, ketika waktu rehat kami cuba kembalikan keyakinan pemain kerana corak permainan sudah ada, cuma dari segi keyakinan mereka agak ketakutan untuk bermain di babak pertama.
“Kita ada banyak peluang di babak kedua, tetapi tidak berjaya menjaringkan gol,” kata Wan Muhd Faris yang meletakkan sasaran mara ke suku akhir selepas menduduki tangga kelima Kumpulan B pada 2025.
Majlis Sepak Mula Liga Bola Sepak KPM disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Dr Aminuddin Hassim dan Pengarah, Libat Urus Kerajaan dan Industri Fraser & Neave Holdings Bhd, Norazrin Norsyam Yee.
© New Straits Times Press (M) Bhd




