Stamford Bridge bergoncang – Chelsea dalam bahaya

Stamford Bridge bergoncang – Chelsea dalam bahaya

Awan mendung nampaknya enggan berganjak dari Stamford Bridge apabila Chelsea kini berdepan misi hampir mustahil untuk menterbalikkan defisit 5-2 menjelang aksi timbal balik pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara menentang Paris Saint-Germain (PSG), awal pagi Rabu ini.

Skuad kendalian Liam Rosenior itu bukan saja memikul beban jaringan yang besar, malah terpaksa menerima tamparan hebat selepas kapten pasukan, Reece James, disahkan mengalami kecederaan hamstring yang serius.

Kecederaan James yang dialami ketika kekalahan memalukan 1-0 kepada Newcastle United Sabtu lalu, menyaksikan bek kanan itu bakal berehat panjang, sekali gus merencat perancangan taktikal The Blues.

Bukan itu saja, kem latihan Chelsea terus dihujani berita malang apabila penjaga gol utama, Filip Jorgensen, turut dilaporkan mengalami masalah pangkal paha dan kini sedang menunggu keputusan imbasan perubatan.

Situasi ini memaksa Rosenior untuk kembali mempertaruhkan Robert Sanchez di gawang gol, meskipun prestasi penjaga gol Sepanyol itu sering dipersoal oleh penyokong tegar kelab London Barat berkenaan.

Harapan penyokong untuk melihat kelibat bintang muda, Jamie Gittens, juga nampaknya lebur apabila pemain sayap lincah itu dilaporkan mengalami kecederaan berulang dalam sesi latihan terakhir.

Bagaimanapun, sedikit sinar harapan muncul buat Chelsea apabila permata Brazil, Estevao Willian, dilihat sudah mula menyertai latihan terbuka, walaupun status kecergasannya hanya akan ditentukan pada saat-saat akhir.

Di bahagian serangan, Chelsea dijangka akan terus bergantung kepada sentuhan berbisa Cole Palmer dan kepantasan Pedro Neto yang dibenarkan beraksi di pentas Eropah walaupun sedang menjalani hukuman penggantungan domestik.

Namun, fokus peminat bukan saja terarah kepada aksi di padang, malah isu luar padang turut memanaskan suasana apabila kelab itu baru saja dijatuhkan hukuman denda rekod £10.75 juta (RM63 juta).

Hukuman tersebut, yang berkaitan dengan pelanggaran peraturan kewangan semasa era pemilikan lama, turut membabitkan larangan perpindahan pemain yang ditangguhkan, sekali gus menambah tekanan kepada pengurusan kelab.

Rosenior kini berada dalam kedudukan ‘telur di hujung tanduk’ dan perlawanan menentang PSG ini dianggap sebagai penentu sama ada beliau masih layak mengemudi kelab yang penuh dengan sejarah kegemilangan itu.

Mampukah ‘keajaiban Stamford Bridge’ berulang, atau adakah gergasi London ini akan tersungkur lagi di hadapan penyokong sendiri? Segala-galanya bakal terjawab dalam tempoh 90 minit yang penuh mendebarkan nanti.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top