yusri.muzamir@bh.com.my
Kuala Lumpur: Status kerajaan Sabah sebagai ‘caretaker’ atau kerajaan sementara ketika ini tidak menghalang rundingan berkaitan Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil diperoleh dari wilayah itu diadakan bersama Kerajaan Persekutuan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican sudah mengutus surat kepada Setiausaha Kerajaan Sabah, Datuk Seri Safar Utong bagi tujuan itu, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, rundingan berkenaan akan dibuat bagi perihal teknikal dan perkara berbangkit, sementara menunggu pembentukan kerajaan negeri yang baharu seusai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kelak.
“Kerajaan Persekutuan tidak mahu dianggap melengah-lengahkan (rundingan). Proses ini sudah berjalan.
“Sekarang sekurang-kurangnya Johan (sudah) menulis kepada Safar, mengatakan boleh mula runding soal teknikal termasuk perkara yang disebut dalam penghakiman.
“Kemudian dalam jawatankuasa teknikal tentunya dibincangkan untuk rujuk kepada Menteri Kewangan, Ketua Menteri dan Jemaah Menteri, tentunya tunggu sehingga selesai PRN dan kerajaan baharu dibentuk.
“Namun, saya tidak fikir ia (PRN Sabah) menghalang perbincangan teknikal terlebih dahulu untuk memudahkan perundingan,” katanya pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) berkenaan status rundingan perkara itu memandangkan Sabah ketika ini sedang berdepan PRN.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan, rundingan segera perlu dibuat kerana Kerajaan Persekutuan enggan berdiam diri apabila ada pihak mendakwa pentadbiran negara dibuat secara tidak berperlembagaan, sejak 1974.
“Apakah kita boleh berdiam dan tidak membatalkan rekod (alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu), menyatakan (Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri) terlanjur, tidak rasional, terdapat ketidakaturan dari segi prosedur serta tidak berkadaran.
“Ini belum pernah berlaku dalam keputusan mahkamah yang sebegitu keras, membabitkan seluruh kerajaan sejak dahulu,” kata Ahli Parlimen Tambun itu.
Perdana Menteri juga mengingatkan proses rundingan atau penyelesaian masalah mahupun pertikaian yang timbul, perlu dibuat berpaksikan semangat kesatuan dan perpaduan sebagai sebuah negara.
Ini kerana katanya, tanggungjawab Kerajaan Persekutuan adalah menjaga hubungan baik dengan negeri, selain berusaha menyelesaikan sebarang pertikaian yang timbul.
© New Straits Times Press (M) Bhd




