Status pembayaran zakat pendeposit sah, patuh hukum syarak – Tabung Haji

Status pembayaran zakat pendeposit sah, patuh hukum syarak – Tabung Haji

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) menegaskan status pembayaran zakat bagi pendeposit tahun-tahun sebelum konsep wakalah diperkenalkan pada 2019 adalah sah dan mematuhi hukum syarak.

Keputusan itu dicapai menerusi mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Syariah (JPS) TH bertarikh 2 September 2020.

Lembaga TH dalam kenyataan berkata, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada 3 Mei 1979 menetapkan TH ialah institusi yang tidak wajib zakat ke atasnya.

Bagaimanapun, TH wajib membayar zakat bagi pihak pendeposit.

“TH telah secara konsisten menunaikan kewajipan membayar zakat bagi pihak pendeposit selaras ketetapan ini.

“Berhubung pembayaran zakat bagi tahun-tahun semasa kontrak Wadiah Yad Damanah digunakan (2016 hingga 2019), hakikatnya zakat dikeluarkan adalah zakat perniagaan (secara khultah) bagi pihak pendeposit ke atas kumpulan wang pendeposit yang diniagakan.

“Ini berasaskan kepada pertimbangan TH tidak diwajibkan zakat keatasnya, TH tidak mempunyai pemegang saham dan keseluruhan aset yang diniagakan TH dijana sepenuhnya daripada dana pendeposit,” katanya pada Selasa.

Sebelum ini, bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli meminta kerajaan menjelaskan status bayaran zakat bagi pendeposit TH susulan penemuan `membimbangkan’ dalam laporan akhir Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang didedahkan kepada umum pada Rabu lalu.

Rafizi mendakwa, laporan suruhanjaya mendapati semasa Lembaga TH membayar zakat di bawah akad Wadi’ah Yad Dhamanah dari 2016 hingga 2019, ia sebenarnya perlu dibayar oleh agensi itu dan bukannya dilunaskan oleh pendeposit.

Beliau yang juga bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berpendapat bahawa pendekatan yang diambil oleh agensi itu bertentangan dengan Akta Tabung Haji 1995.

Mengulas lanjut, Lembaga TH memaklumkan, kesemua zakat yang dibayar oleh TH pada setiap masa adalah bagi pihak pendeposit.

Tambahnya, pendeposit tidak lagi perlu mengeluarkan zakat ke atas dana deposit yang sama selepas TH melunaskan zakat bagi pihak mereka kerana ia bakal mengakibatkan berlaku pertindihan zakat ke atas harta sama yang tidak selaras prinsip syariah.

Merujuk kepada syor RCI TH supaya perkara berkaitan amalan zakat TH dibawa kepada Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI), pihaknya menegaskan bahawa usul itu sudah pun dibentangkan serta diperakui jawatankuasa tersebut pada Jun 2024.

Katanya lagi, pandangan Jawatankuasa Muzakarah seterusnya telah disembah maklum kepada Mesyuarat Majlis Raja Raja (MRR) ke-267 pada Oktober 2024.

“Kami ingin memaklumkan keseluruhan operasi mahupun tadbir urus zakat TH berpandukan Garis Panduan Zakat diluluskan dan dipantau oleh JPS TH yang dianggotai pakar-pakar syariah serta kewangan Islam,” ujar Lembaga TH.

Scroll to Top