Stesen radio silap umum kemangkatan Raja Charles III

LONDON: Sebuah stesen radio komuniti melanggar peraturan selepas secara tidak sengaja mengumumkan kemangkatan pemerintah Britain, Raja Charles III dalam satu siaran pada Mei, kata badan pemantau media United Kingdom (UK), Ofcom  pada Isnin.

Radio Caroline, stesen radio yang kini kebanyakannya memainkan muzik rock, memohon maaf pada Mei selepas menyiarkan mesej palsu yang mengumumkan kemangkatan raja berkenaan.

Salah satu mesej itu berbunyi: “Kami telah menggantung program biasa sehingga diberitahu kelak sebagai tanda penghormatan berikutan kemangkatan Raja Charles III.”

Lagu kebangsaan kemudian dimainkan, diikuti kira-kira 16 minit ‘senyap’ sebelum program biasa disambung semula.

Penyampai radio memohon maaf 30 minit selepas mesej tersebut mula disiarkan, kata Ofcom.

Pengawal selia itu, yang menerima dua aduan mengenai siaran berkenaan berkata, ketidaktepatan yang amat ketara dan tempoh agak lama untuk mengakui kesilapan tersebut telah melanggar dua peraturannya.

Salah satu peraturan menghendaki laporan berita disampaikan secara tepat dan tidak berat sebelah.

Satu lagi peraturan menetapkan bahawa kesilapan besar perlu diakui dan diperbetulkan secara segera ketika siaran.

Radio Caroline memberitahu Ofcom bahawa kesilapan itu berlaku apabila seorang kakitangannya mengakses fail audio yang telah dirakam terlebih dahulu untuk digunakan sekiranya berlaku kemangkatan raja.

Ia berlaku ketika kakitangan itu melakukan kerja penyelenggaraan pada komputer studio sewaktu program disiarkan secara jarak jauh.

Kakitangan berkenaan memainkan fail tersebut kerana ingin tahu menyebabkan siaran daripada lokasi penyampai secara jarak jauh terhenti dan fail berkenaan disiarkan ke udara.

Beliau kemudian dilaporkan panik dan meninggalkan tempatnya bekerja selepas menyedari apa yang telah berlaku, menurut kenyataan Ofcom.

Stesen berkenaan berkata kakitangan yang memainkan fail tersebut telah diberi teguran dan memohon maaf.

Ia turut menambah bahawa fail yang telah dirakam terlebih dahulu berkenaan kini telah dipadamkan daripada komputer studio. – AFP

Scroll to Top