Stor rokok seludup RM1.28 juta terbongkar, 3 lelaki diberkas polis

Stor rokok seludup RM1.28 juta terbongkar, 3 lelaki diberkas polis

harisfadli@hmetro.com.my

Serdang: Serbuan polis ke atas sebuah rumah di Taman Sri Serdang di sini, menerusi Op Taring Alpha 1 semalam membongkar sebuah stor simpanan rokok seludup bernilai RM1.28 juta.

Komander Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, tiga suspek warga tempatan turut ditahan dalam operasi bermula 8 malam itu.

Menurutnya, pihaknya percaya berjaya mematahkan kegiatan sindiket pengedaran dan penjualan rokok seludup di sekitar Lembah Klang dan ke luar negara.

“Pemeriksaan di ruang tamu menemukan 12 kotak mengandungi 163 karton rokok disyaki tidak berkastam. Lapan kotak mengandungi 95 karton rokok pelbagai jenama ditemui di dalam bilik utama.

“Pemeriksaan di ruangan stor menemukan 14 kotak besar mengandungi 1,381 karton rokok pelbagai jenama disyaki tidak bercukai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut di ruang rehat menemukan 95 karton rokok manakala di bilik kedua pihak polis menemui 69 karton rokok menjadikan jumlah keseluruhan rampasan sebanyak 5,111 karton pelbagai jenama rokok disyaki tidak bercukai.

Katanya, tiga suspek ditahan berusia lingkungan 34 ke 43 tahun yang terdiri daripada seorang penyelia dan dua lagi individu disyaki pekerja.

“Semua tangkapan dan barang rampasan diserahkan kepada pegawai penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Serdang untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top