razis@mediaprima.com.my
Selayang: Seramai 18 pelajar Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2025 diumumkan sebagai pelajar terbaik kebangsaan mengikut kategori.
Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, daripada jumlah itu, tujuh pelajar terbaik kebangsaan STPM 2025 (Aliran Sains) dan tujuh pelajar Aliran Sains Sosial.
“Selain itu, terdapat seorang pelajar terbaik kebangsaan STPM 2025 kategori Orang Asli dan tiga pelajar terbaik bagi kategori Calon Berkeperluan Pendidikan Khas iaitu spastik, buta dan rabun.
“Semua terbaik diberikan anugerah wang tunai bernilai RM1,000, plak, dan sijil dari MPM,” katanya dalam Majlis Pengumuman Keputusan STPM 2025 di sini, hari ini.
Menurutnya, buat julung-julung kalinya pada tahun ini, semua universiti awam akan menawarkan satu tajaan dalam bentuk yuran pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda kepada 18 pelajar terbaik kebangsaan yang akan diumumkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sideki.
“MPM juga akan memberikan anugerah kepada seorang pelajar terbaik kebangsaan Malaysian University English Test (MUET) Tahun 2025 dan seorang pelajar terbaik kebangsaan Sijil Kecekapan Bahasa Melayu Bagi Warganegara Asing (SKBMW) Tahun 2025,” katanya.
tamat
© New Straits Times Press (M) Bhd




