am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Pengalaman kerajaan negeri dalam menguruskan pelaburan asing serta projek strategik dan berimpak tinggi seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) menjadi antara faktor penting yang perlu dipertimbangkan rakyat bagi memastikan kesinambungan pembangunan ekonomi di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata, kerajaan negeri yang dipimpinnya mempunyai pengalaman serta hubungan yang kukuh dengan pelabur dan pemimpin luar negara yang menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri.
“Kerajaan yang saya pimpin hari ini mempunyai pengalaman bagaimana hendak menguruskan JS-SEZ, bagaimana hendak berurusan dengan pemimpin-pemimpin Singapura serta meneruskan hubungan dengan pelabur-pelabur yang berminat untuk masuk ke Johor dari China, Eropah dan Amerika Syarikat.
“Kita tahu bagaimana hendak melakukannya dan kita mempunyai hubungan yang istimewa serta jaringan yang telah dibina,” katanya dalam sesi temu bual bersama media Johor di kediaman rasmi Menteri Besar di Saujana di sini semalam.
Beliau berkata, kesinambungan hubungan yang dibina itu penting bagi memastikan keyakinan pelabur terhadap Johor terus kekal dan manfaat ekonomi dapat dinikmati rakyat.
“Kesinambungan itu perlu diteruskan dan ia hanya boleh berlaku jika rakyat membuat keputusan yang tepat pada 11 Julai nanti,” katanya.
Onn Hafiz berkata, kestabilan pentadbiran dan kesinambungan dasar kerajaan negeri amat penting bagi memastikan pelbagai inisiatif ekonomi yang sedang dirancang serta dilaksanakan dapat diteruskan tanpa gangguan.
Menurutnya, Johor kini berada pada kedudukan yang baik untuk menarik lebih banyak pelaburan asing sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti serta meningkatkan taraf hidup rakyat.
Justeru, Onn Hafiz berkata, ketika ini bukan masa untuk melakukan eksperimen kerana pelbagai kejayaan yang dicapai kerajaan negeri dalam bidang ekonomi dan kebajikan rakyat adalah hasil perancangan yang teliti serta usaha berpasukan yang berterusan.
“Semua ini dirancang dengan teliti dan dilaksanakan secara berpasukan dengan setiap perkara diperincikan.
“Kebimbangan saya ialah jika kita menukar nakhoda sekarang, kita akan memulakan sesuatu yang baharu dan terpaksa bermula semula dari awal, yang akhirnya hanya membuang masa,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan kejayaan Johor mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM110 bilion pada 2025, menjadikannya rekod tertinggi dalam sejarah negara.
Pencapaian itu dijangka mewujudkan 24,584 peluang pekerjaan baharu untuk penduduk negeri.
© New Straits Times Press (M) Bhd




