Strategi Neitzel menjadi

Strategi Neitzel menjadi

syafiq.aznan@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Percaturan untuk mengubah formasi dan memasukkan pemain yang lebih segar jelas memberi impak untuk membantu Selangor FC (SFC) meraih kemenangan berharga 2-1 ke atas ‘seteru’ Lembah Klang, PJ City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MPBJ), malam tadi.

The Red Giants cemas selepas PJ City FC terlebih dahulu membuka jaringan menerusi V Ruventhiran pada babak pertama namun kebangkitan pada minit terakhir perlawanan membantu anak buah Karsten Neitzel itu ‘menyapu’ mata penuh pada aksi terbabit.

Mengulas mengenai persembahan anak buahnya, Neitzel mengakui pasukannya bergelut pada babak pertama apabila sukar untuk mencipta peluang selain berdepan masalah untuk mengatasi serangan balas pantas PJ City FC.

“Kita menukar formasi serta beberapa pemain selepas rehat dan pemain gantian terus menunjukkan aksi yang cemerlang seperti aksi yang terdahulu. Kemasukan pemain gantian ini memang membantu kita selepas kita bergelut pada awal permainan.

“Selepas 60 atau 70 minit, pemain gantian memang memberikan impak kerana ketika itu perlawanan sudah menjadi terbuka. Mereka melakukan tugas dengan baik dan saya gembira dengan semua pemain,” katanya.

Pada aksi terbabit, Ifedayo Olusegun meledak dua gol dalam enam minit terakhir untuk membantu SFC menang 2-1 dan prestasi mereka melonjak selepas belum lagi tewas dalam empat perlawanan terakhir, menang tiga daripada aksi terbabit.

Pencapaian itu membolehkan mereka menghuni tangga kelima Liga Super dan hanya tiga mata di belakang pasukan di tangga keempat, Terengganu FC (TFC) namun ketinggalan enam mata di belakang pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Sementara itu, pengendali skuad ‘Phoenix’, P Maniam tetap berpuas hati dengan persembahan anak buahnya sekalipun sekali lagi dihukum dengan jaringan lewat permainan untuk menafikan mereka daripada mengutip sebarang mata.

“Pemain menunjukkan permainan yang baik khususnya pada babak pertama tetapi kehilangan fokus menyebabkan kita dihukum SFC pada minit akhir.

“Tetapi kami dapat dapat memberi saingan sehingga minit ke-85 menentang pasukan yang dibarisi pemain import dan pemain tempatan yang lebih baik, saya rasa itu sudah cukup baik untuk kami,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top