Suami hadiah Wawa Zainal kereta Brabus RM2.4 juta

Suami hadiah Wawa Zainal kereta Brabus RM2.4 juta

KUALA LUMPUR – Pelakon yang juga usahawan popular, Aeril Zafrel membuat kejutan apabila menghadiahkan isterinya, Wawa Zainal sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Brabus 900 Rocket Edition yang dianggarkan bernilai RM2.4 juta.

Menerusi laman sosial miliknya, Aeril atau nama sebenar Suhairil Sunari memberitahu,  kenderaan mewah itu adalah idaman suri hatinya.

Biar pun sedikit terlewat daripada tarikh hari jadi Wawa yang jatuh pada 12 Mac lalu, kejutan dilakukan ternyata ‘menjadi’ apabila isterinya terharu dan teruja.

“Akhirnya dapat juga hadiahkan si oren ini untuk dia. Kalau marah-marah lagi tak tahulah aku, sweet tak saya?” tulisnya dalam kapsyen video pendeknya itu.

Pelakon berusia 34 tahun itu turut berkongsi detik menunjukkan hadiah istimewa tersebut yang turut disertai beberapa tetamu lain.

Dalam video berkenaan, Wawa yang tampil menawan mengenakan busana serba hitam teruja melihat kereta idamannya.

Malah turut kelihatan dalam video tersebut adalah hadiah tambahan iaitu timbunan beberapa kotak barangan berjenama diletakkan dalam kenderaan berkenaan.

Terdahulu, sekitar dua tahun lalu iaitu pada hari jadi yang ke-29 Aeril pernah menghadiahkan Wawa sebuah Mercedes-Benz GLC 300.

Wawa juga pernah memberikan kejutan sebuah kereta Lamborghini Gallardo berwarna kuning tahun lalu kepada Aeril.  – MalaysiaGazette

Scroll to Top