“Wallahi, saya rasa bersalah dan terkesan kerana menjadi punca atau ‘bridge’ kepada skim ini”.
Demikian respons suami kepada selebriti dan aktivis terkenal Datin Heliza Helmi, iaitu Datuk Mahadi Badrul Zaman apabila tampil memberikan penjelasan berhubung dakwaan membabitkan dirinya dalam satu skim pelaburan yang kononnya patuh syariah.
Menurut Mahadi, beliau juga merupakan antara mangsa yang mengalami kerugian besar akibat pelaburan tersebut, dengan jumlah kerugian dilaporkan mencecah RM20.7 juta.
Katanya, situasi ini sangat mengecewakan dan beliau tampil bersuara bagi menjelaskan keadaan sebenar serta membersihkan namanya daripada sebarang tanggapan negatif yang tular.
Memetik laporan Berita Harian, Mahadi telah membuat laporan berhubung kes skim pelaburan berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Jumaat lalu.
Jelasnya, dia telah dilantik sebagai wakil syarikat atau ketua ejen pemasaran yang mana tugasnya adalah menjemput dan memperkenalkan skim pelaburan itu kepada orang ramai sejak 2022.
“Saya telah membuat enam pelaburan dan mula melabur di dua syarikat milik individu sama ini sejak 2022 sebelum dilantik untuk memperkenal serta mempromosikan skim pelaburan yang ditawarkan.
” Saya tidak ada niat menipu mana-mana pihak, malah saya juga mangsa. Dan ini kali pertama saya membuat pendedahan kepada semua pihak terutamanya ejen di bawah saya,” katanya kepada pemberita.
Dalam pada itu, dia sendiri tidak mengetahui ke mana hala tuju wang pelaburan sebanyak RM60.7 juta membabitkan wang pelaburan kesemua 186 pengadu.
“Kami diberi taklimat lengkap dengan surat perjanjian. Bukan saya yang membuat perjanjian skim pelaburan.
“Sepatutnya pihak syarikat membayar dividen kepada pelabur pada Januari tahun ini, namun ia tidak dilaksanakan,” dakwanya.
Jsuteru, Mahadi memaklumkan, pihaknya menerima banyak panggilan daripada pelabur berkaitan isu berkenaan.
“Berikutan tiada penyelesaian, kami kemudian telah berjumpa dan berbincang dengan Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, untuk mengambil langkah selanjutnya seperti membuat laporan polis,” jelasnya.
Sumber: Berita Harian




